:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Showing posts with label Bicara Minda. Show all posts
Showing posts with label Bicara Minda. Show all posts

Monday, 23 April 2012

Tiada Yang Berbeza

Alhamdulillah, usia perkahwinan bakal menjengah ke angka 2, kurang seminggu je lagi. Serasanya baru je lagi kami bernikah tempoh hari. Sedar tak sedar, dari 2, hampir menjadi 4 dalam 3 bulan lagi, InsyaAllah. Bagi saya, tempoh 2 tahun mungkin belum apa-apa lagi. Masih baru lagi. Masih banyak yang perlu dipelajari. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Masih berusaha, hari demi hari.

Dan Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini juga, rasanya tak pernah kami bergaduh besar. Harap-harapnya tidaklah sampai bila-bila. Bertekak kecil-kecilan tu adalah. Biasalah, suami dan isteri datang dari dua buah keluarga yang berbeza. Dibesarkan dengan cara yang berbeza. Dan masing-masing punya ego sendiri. Sebab itu perlunya 'give and take'. Sama-sama ya! Bukan seorang sahaja.

Baru-baru ini, ada satu topik yang diutarakan di salah sebuah 'Facebook Group' yang mana ahlinya adalah kebanyakannya isteri-isteri merangkap ibu-ibu yang bekerjaya. Mereka mengatakan yang isteri lebih banyak berkorban berbanding suami. Maaf, saya paling tidak suka kalau siapa-siapa, sama ada suami atau isteri mengeluarkan statement seolah-olah dia yang berusaha paling banyak, dia yang paling banyak berkorban. Sememangnya, kita akan sentiasa merasakan kita telah melakukan yang terbaik. Namun, janganlah perasaan kita itu menimbulkan rasa ego, sehingga mengeluarkan statement seperti itu. Bagi saya, itu samalah juga dengan memburukkan pasangan kita secara tersirat. Walaupun tanpa kata-kata, 'Pasangan aku tu, bukannya bagus sangat pun...'

Bagi saya, dalam perkahwinan, sama-sama telah banyak berkorban. Mungkin isteri rasa dia banyak berkorban, sebab dia yang paling banyak buat kerja yang nampak, macam menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Kalau suami pula jenis pendiam, tak banyak cakap, mungkin jadi sebab isteri rasa suami tak banyak membantu. Tapi janganlah pula kita terus merasakan yang kita paling banyak berkorban. Banyak atau sedikit pengorbanan yang telah kita buat, bukan kita yang menilainya. DIA lebih tahu. Biar dia saja yang menilaikan.

Selagi kita berfikir-fikir perkara-perkara tersebut, selagi itu perasaan tenang tidak akan muncul. Bukankah syaitan suka andai masjid yang dibina itu runtuh. Ketahuilah, setiap pengorbanan yang telah kita lakukan itu, pahala balasannya dan insyaAllah syurga tempat kita. Lagipun, pengorbanan itu bukan untuk siapa-siapa. Untuk suami dan anak-anak, yang akan membawa kita ke syurga yang hakiki.

Saya pun bukanlah yang terbaik untuk manjadi penasihat hal rumahtangga, sementelah rumahtangga sendiri baru menjengah usia 2. Bukan saya tak pernah punya perasaan seperti itu di awal-awal perkahwinan. Namun, saya cuba sentiasa berfikiran positif. Insyaallah semuanya akan baik-baik saja. Ameen...


Friday, 18 February 2011

Bersahabat Tanpa Cinta

Kalau seorang wanita berkawan rapat dengan seorang lelaki, pasti orang sekeliling akan menganggap yang mereka punya hubungan yang istimewa. Jarang sekali kita fikir yang mungkin mereka berdua bersahabat baik. Pernah tak jumpa seorang wanita yang sudah punya teman istimewa, tapi tetap punya sahabat baik berlainan jantina. Dan yang istimewanya, sahabat lelakinya juga sudah punya teman istimewa. Agak-agak, boleh teman istimewa mereka berdua menerima hubungan sahabat baik tersebut.

Selama hampir 30 tahun mendiam di muka bumi Allah ini, saya akui, sahabat baik saya bukan sahaja terdiri dari sahabat sejantina. Dan kadang-kadang saya rasa sahabat lelaki saya lebih memahami jika dipersoalkan tentang cinta, terutamanya tentang kaum sejenis mereka. Tapi, bukan semua rahsia boleh dikongsi bersama kan.

Sepanjang bersahabat, tak pernah pula terlintas tentang cinta antara kami berdua. Walaupun mungkin orang sekeliling menganggap sebaliknya. Mungkin pernah cuba, tapi bagi saya, kalau ia dimulai dengan persahabatan, biarlah ia kekal atas nama persahabatan juga. InsyaAllah, hubungan itu tiada dendam di hati.

Berbanding jika kita bersahabat, kemudian bercinta, dan akhirnya berputusan. Adakah ia akan kembali kepada status sahabat seperti awalnya? Mungkin boleh. Tapi, bolehkah dibuang luka-luka lama itu, apatah lagi kalau puncanya adalah kecurangan. Oh, tidak sama sekali! Rasanya kalau bertemu pun, mungkin akan menyakitkan hati. Jadi akhirnya hubungan itu, tiada lagi...

Jika berbicara dari perspektif saya sebagai seorang wanita, saya suka seandainya seorang lelaki dapat membezakan antara sahabat dan cinta. Maknanya, layanan terhadap sahabat lain, layanan terhadap kekasih hati, tentulah lain dan lebih istimewa. Jadi, dia tidak akan menyebabkan wanita yang menjadi sahabatnya, menaruh cinta dan harapan terhadapnya. Berbanding dengan seorang lelaki yang melayan semua wanita sama sahaja, termasuk cinta hatinya. Kemudian tanpa sedar telah memberikan harapan kepada ramai wanita terhadapnya. Bila wanita itu kecewa, mengatakan itu bukan salahnya. Sebaliknya wanita itu yang perasan sendiri. Oh, bijaknya kamu! Padahal kamu yang memulakan segalanya.

Benarlah kata pepatah, 'berkawan biar beribu, berkasih biar satu'. Jangan mudah menabur janji, andai tak mampu untuk ditepati.

Friday, 4 February 2011

Menjadi Ibu, Tidak Semudah Yang Disangka

Setiap wanita, dilahirkan dengan naluri keibuaan. Sebab itu, selepas sahaja bernikah, perkara seterusnya yang difikirkan adalah untuk menjadi ibu. Lagi seronok bila melihat orang sekeliling sibuk mengelek anak kecil. Menjadikan keinginan itu membuak-buak. Betul kan?

Untuk menjadi ibu, memang mudah. Tapi untuk menjadi ibu yang terbaik, tidak semudah yang disangkakan. Sedangkan untuk menjadi ibu, kita menghadapi cabaran untuk mengandung selama 9 bulan, yang mana tempoh itu bukanlah satu tempoh yang singkat, dengan pelbagai ragam dan karenah badan yang berubah-ubah. Seterusnya cabaran untuk melahirkan khalifah Allah, juga cabaran yang bukan calang-calangnya. Namun, sekali melangkah, tak mungkin akan ada kata mengalah. Walau susah, walau payah, semuanya harus ditempuhi juga. Untuk satu gelaran yang tiada nilainya = IBU.

Saya sendiri, pada awal selepas kelahiran Sakinah, tertekan dengan keadaan terpaksa berjaga malam. Kemudian, bila Sakinah menangis, susu telah diberi pun, masih juga dia menangis. Memang tak tahu nak buat apa. Sampai akhirnya, saya sendiri yang menangis. Haha! Tapi, hampir sebulan usia Sakinah, saya semakin membiasakan diri dengan keadaan ini. Saya tahu, inilah pengorbanan yang terpaksa saya lalui. Dan jangan lupa, inilah juga yang dilalui oleh Mama dulu, sewaktu kelahiran saya.

Sebagai ibu, kita pastinya mahu memberikan yang terbaik buat anak kita. Dari segi pemakanan, pakaian, tempat tinggal, dan pastinya kesihatan. Apa sahaja yang dilakukan, demi anak. Sampai kadang-kadang, keperluan sendiri pun terabai. Tak apa, yang penting anak dapat yang terbaik. Betul kan?

Jadi, selagi kita punya ibu, hargailah mereka. Jasa mereka tak ternilaikan dengan wang ringgit. Luangkanlah masa bersama mereka. Berikanlah apa yang menggembirakan mereka, walaupun mungkin, kita kurang gembira. Hati ibu lebih penting kan...

Thursday, 16 December 2010

Redha Allah = Redha Ibu Bapa

Baru-baru ini, seorang rakan saya menyatakan yang dia tidak perlukan redha manusia, hanya redha Allah yang utama. Memang benar, kita perlu mencari keredhaan Allah dalam kehidupan ini. Tanpa redha-Nya, sengsaralah kita. Tapi, jangan kita lupa bahawa sesungguhnya, tanpa redha kedua orang tua kita, tiadalah redha Allah. Orang tua kita itu, manusia juga kan?

Apa sahaja yang kita lakukan, perlulah mendapat restu dan redha kedua orang tua kita, selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum Allah, dan tidak memudaratkan kita. Dari hal pelajaran, pekerjaan, sehinggalah kepada hal jodoh sekalipun. Semuanya perlulah dengan redha mereka. InsyaAllah, semuanya akan selamat.

Banyak yang berlaku di depan mata saya, menjadi bukti betapa pentingnya redha kedua ibu bapa kita. Saya sendiri pernah mengalaminya beberapa kali. Saya pernah ceritakan di entri ini. Apa yang jadi pada orang sekeliling saya juga, memberi pengajaran kepada saya tentang kepentingan redha orang tua ini.

Artikel yang saya baca di iLuvislam.com ini, mungkin boleh jadi petunjuk buat kita semua...

"Pokwe, nak tanye sket...Apa pendapat ko kalau aku kahwin senyap-senyap??"

‘Hmm...sebelum tu, aku nak tanye ko dulu soalan ni. Apa pendapat ko misalkata ko ni seorang ayah, dan tau-tau je, anak ko dah kahwin tanpa pengetahuan ko??..Apa ko buat??'

Sunyi sepi....

"Ala, aku bukan apa, dah setahun dah aku pujuk mak ayah aku nak kahwin, diorang tak bagi, terutama mak aku."

'Hmm...ade ko tanya kenapa mak ko tak bagi?'

"Itulah, aku dah tanya, alasan dia, suruh habis belajar dulu. Lepas tu, baru boleh nak fikir pasal kahwin-kahwin ni.."

‘Aku tak rasa satu tu je sebab yang mak kau tak nak bagi..Ko kena fikir dalam-dalam pandangan seorang ibu ni macamana..'

"Aku tak fahamlah mak ayah zaman sekarang ni, diorang tak faham keadaan kita. Aku takut tak dapat kawal diri je ni, tu yang aku fikir nak teruskan niat aku"..

Serba sedikit dialog yang pernah terjadi suatu ketika dahulu. Konflik tentang perkahwinan, sentiasa membelenggu para pemuda zaman ini. Antara kemahuan diri dan restu keluarga, sentiasa membelenggu pemikiran anak-anak muda, lebih-lebih lagi yang sedang hanyut dibuai cinta.


Mengapa Dihalang?

Inilah antara persoalan utama yang menjadi titik punca. Pandangan seorang ayah, selalunya dalam hal perkahwinan anak-anak mereka sangat ringkas dan tidak banyak kerenah. Kalau ada pun, hanya berkaitan dengan soal calonnya, berkenan atau tidak , dan selalunya apa yang menjadi pilihan si anak, ayah akan bersetuju. Apa yang dirasakan oleh si ayah, adalah mungkin sudah sampai masanya si anak belajar untuk membina keluarga sendiri.

Berbanding si ibu. Ibu , mendengar namanya sudah sayu. Dialah yang membesarkan, dialah yang mengandungkan kita, dialah yang menyusukan kita, dan ada kala, ketika si ibu sedang makan, terdengar sahaja rengekan anak kecil, anak disegerakan jamahan makanan itu, tetapi selalunya akan ditinggalkan terus juadahnya hanya untuk anak tercinta. Seorang ibu, membesarkan anak-anaknya sepenuh kasih sayang yang ada padanya. Sedihnya anak, pilu baginya, gembira si anak, senyuman dibibirnya, bak kata, setiap perilaku si anak, semuanya berbekas di hati seorang ibu.

"Mak kau tak bagi mungkin sebab sayang sangat kat kau kot, tu yang tak nak lepas tu"

Mungkin ada benar dan mungkin perlu diselidik apa yang menyebabkan terhalangnya kita meneruskan hasrat untuk berumah tangga. Seorang ibu, jarang menolak permintaan anaknya. Buruk-buruk anaknya, itulah buah hatinya. Sebut sahaja permintaan dari si anak, nak masak lemak la, nak nasi beriyani la, nak jajan ( makanan ringan ), apa sahaja kalau dihitung pasti kita akan mengakui seorang ibu jarang menolak permintaan anaknya. Tetapi, mengapakah pada permintaan yang satu ini sangat susah baginya untuk dia menyatakan persetujuannya?

Seorang ibu, apabila dia menyatakan ketidak setujuannya, pasti ada sesuatu yang tersimpul di sebalik itu. Seorang ibu, apabila menolak permintaan anaknya untuk mendirikan rumah tangga, dia tahu anaknya belum tiba masa lagi untuk diteruskan hajatnya. Ketika ini, apa yang bermain di fikirannya, apakah anakku ini boleh menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab? Mungkin soalan ini timbul kerana, dia akan membandingkan sikap suaminya (ayah kita) dengan sikap kita. Jika dia tidak bersetuju, pasti ada yang kurang pada diri kita yang menyebabkan kurangnya keyakinan dia untuk bersetuju dengan hasrat kita.

Bagaimana sikap Kita ?

Selepas subuh, tarik selimut kembali. Selepas makan , letak pinggan di dalam sinki sahaja, mengharapkan ada orang tolong basuhkan. Baju-baju kotor dibiarkan sahaja bersepah tanpa ada inisiatif untuk basuh. Jika inilah sikap kita di rumah, bagaimanakah seorang ibu mahu membenarkan anaknya untuk mendirikan rumah tangga jika dirinya tidak ada sifat bertanggungjawab sekurang-kurangnya pada diri sendiri, inikan pula bila sudah berumah tangga...

Sikap yang ada ini perlulah diubah dalam memberikan keyakinan si ibu bahawa anaknya sudah kenal erti tanggungjawab. Balik rumah , dalam seminggu dua, pujuklah hati si ibu dengan kerja-kerja rumah yang dilakukan. Unjurkan apa sahaja kerja-kerja rumah dari ibu, bahawa biar sahaja kita yang buat. Belikan sedikit cendera hati pada ibu, untuk menarik hatinya. Bila balik rumah, salam tangan ibu, cium tangan ibu. Kalau boleh buat lebih lagi, kucup pipi ibu, bisikkan pada telinganya ‘bang cik sayang mama'. Usahakan cara-cara yang boleh menarik hati ibu ataupun ayah. Keras mana hati ibu untuk melepaskan kita, pasti akan lembut jua akhirnya jika kita memujuk dengan kerja-kerja, kata-kata kita, dan yang terpenting bahawa kita takkan melupakan mereka walaupun sudah berkahwin nanti.

Mengapa Mahu Tergesa-gesa?

Leceh. Mungkin itulah antara yang terbit dari mulut kita bila diberikan penyelesaian untuk masalah yang timbul. Tetapi, perlu ditanya semula, mengapa mahu tergesa-gesa? Mungkin dengan kelecehan itulah, tersingkap suatu keberkatan. Perkahwinan bukan hanya kita berkahwin dengan pasangan kita, tetapi kita juga 'berkahwin' dengan keluarganya. Selain itu juga, kita membesarkan keluarga kita. Kalau sebelum ini, kita hanya ada 3 orang adik, selepas berkahwin, ada 10 orang adik, sebelum kahwin , hanya ada seorang ibu dan seorang ayah, tetapi selepas berkahwin, kita ada dua orang ayah dan dua orang ibu. Dengan kata lain, keluarga kita membesar. Dengan membesarnya keluarga ini, benda paling utama kena jaga adalah hati.

Jika dengan kahwin senyap-senyap itu boleh menyelesaikan ‘perasaan' itu, boleh mengelakkan zina, maka itu hanya satu segi. Tetapi mengapakah dalam bab ini, kita membelakangkan keluarga yang selama ini membesarkan kita? Kita sanggup bersama pasangan kita yang hanya dikenali tidak terlalu lama, dan membelakangkan kasih sayang yang selama ini dicurahkan kepada kita sejak kecil?

Kita mudah mendapat syurga, tetapi kita ikut jalan yang tidak membawa ke syurga. Syurga ada pada ibu, tetapi kita tidak cuba mendapat syurga itu. Redha Allah pada redha kedua ibu bapa, maka apakah dengan membelakangkan keluarga dalam hal membina keluarga ini kita akan mendapat redha Allah pada keluarga yang kita mahu bina itu? Perkahwinan bukanlah sehari dua, tetapi kalau boleh sehingga hujung nyawa dan sehingga ke syurga. Jika berkahwinnya dengan tergesa-gesa itu atas alasan kerana tidak mahu terjebak dengan zina atau dengan kata lain, kerana nafsu, maka renunglah kembali. Selama manakah nafsu itu akan bertahan. Apakah sampai mati? Apakah kesabaran dalam berpuasa itu tidak boleh mengatasi nafsu yang mengawal diri, aduh, sungguh lemah dirimu.

Jika perkahwinan itu dibina atas agama, maka agama tidak akan terlepas dari diri kita sehingga ke syurga kelak. Setiap hari seseorang itu perlukan agama. Agamalah yang membimbing manusia. Apakah kita mahu membimbing anak-anak dengan nafsu atau agama? Perkahwinan yang dibina di atas kecil hati keluarga, kejayaan rumah tangga yang dibina sangatlah tipis berjaya. Tidak ada bukti bahawa perkahwinan yang dibina di atas tergurisnya hati keluarga membina keturunan yang memberi manfaat pada masyarakat. Jika kita berkahwin di kala ini tanpa pengetahuan ibu dan ayah, maka bolehkah kita boleh menjamin anak-anak yang akan dilahirkan dari sulbi isteri kita tidak akan mengulangi apa yang kita lakukan pada ibu bapa kita? Mungkin ianya boleh jadi, lebih teruk dari apa yang kita lakukan pada kedua ibubapa kita?

Bagaimana Jika Sudah Terjadi

Perkahwinan yang telah berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa, eloklah dibawa berbincang kembali dengan kedua ibu bapa. Cubalah sedaya mungkin untuk mengambil hati mereka yang terguris. Mohonlah kemaafan dari mereka. Ceritakan kesilapan yang dilakukan bahawa memang betul-betul kesilapan kita. Pokok utama disini, adalah perbincangan dua mata antara kita dan kedua-dua belah keluarga. Mungkin kesilapan yang yang dirasakan kecil itu,boleh menyebabkan dua keluarga berperang. Berbincanglah dengan nada merendah diri, akui kesilapan yang dilakukan. Moga dengan kesilapan yang dilakukan itu, mematangkan lagi kita. Manusia bukan makhluk sempurna, tetapi ketika melakukan kesilapan itulah yang perlu difikir semula dimana silapnya selama ini.

Yang penting disini, sikap berlapang dada kita dalam menilai sesuatu masalah. Walau sebesar manapun masalah itu, ingatlah , bahawa masalah itu, pemiliknya Allah. Dia memberikan kita masalah agar kita untuk menilai kita sejauh mana keimanan kita, sejauh mana kebergantungan kita kepadanya. Semua benda yang berlaku di atas muka bumi ini, ada sebab musababnya. Jika kita yakin dengan keputusan Allah, kita yakin dengan janji Allah, maka di situ kita akan dapat lihat jalan keluar pada setiap masalah yang timbul. Apa yang penting, cekalkan hati, tingkatkan amal agar keteguhan hati bertambah dan lapangkan dada dalam menilai sesuatu, insyaallah, pasti kita akan nampak jalan keluar di dalam kekusutan yang dihadapi.

Tentang rakan saya tadi? Hidupnya tidak seperti yang diimpikan. Ada sahaja kesusahan yang datang bertimpa-timpa. Hubungan dengan kedua ibu bapanya juga, renggang. Tapi, kerana keegoan itu, dia masih tidak mahu mengakui kesilapannya.

Tak apalah, saya sudah jalankan tanggungjawab saya dengan menasihatinya. Selebihnya, biarlah dia sendiri yang fikir dan nilai. Semoga dia bahagia dengan kehidupannya itu...

Friday, 26 November 2010

Jangan Selalu Mengeluh...

Masuk hujung tahun je, hujung minggu penuh dengan jemputan perkahwinan. Sejak dah berumahtangga ni, rasa seronok je nak ke majlis perkahwinan. Sambil-sambil mengimbau kenangan beberapa bulan lepas. Seronok, yang rasanya macam nak ulang tayang semula je. Rasa nak je pakai baju pengantin lagi. Boleh? Tak sedar diri, perut dah membulat. Ada hati lagi tu. Hehe...

Yang belum bertemu jodoh, ada yang mengeluh, bila la giliran aku? Siap kadang-kadang tu tertanya-tanya sendiri, kenapa mereka dulu? Kenapa bukan aku, yang rasanya lagi 'cantik' dari mereka. Apakah?!

Dulu saya pernah berbincang dengan Suami, seingat saya, masa balik dari majlis perkahwinan juga. Pasangan pengantin yang sangat comel. Yang lelaki sangat kurus, tinggi melampai. Yang perempuan pula, renek sedikit, dengan badan yang agak comel. Cute je... Tengok, kalau dia nak temukan jodoh kita, tak kira dengan siapa pun. Besar ke, kecil ke, tinggi ke, rendah ke... Yang penting sebenarnya, keserasian.

Mesti anda pun pernah jumpa pasangan, seorang sangat kacak atau cantik. Seorang lagi pula, biasa saja. Sampai kadang-kadang ada mulut jahat cakap, 'tak sesuai'. Tapi pentingkah itu semua? Macam mana dia yang biasa-biasa je, boleh memikat si kacak atau si cantik itu? Macam mana dia yang berbadan 'comel' boleh dapat pasangan yang kurus cantik je? Sampai macam tu sekali kan...

Sebenarnya, bagi saya yang penting adalah pembawaan diri kita. Cuba kita buangkan sifat hasad dengki dari dalam diri kita. Cantik, bukan sahaja luaran, malah yang penting adalah dalaman. Buangkan sifat terlalu merendah diri. Dulu saya selalu dengar ayat ni, "Aku taulah aku tak cantik, gemuk lak tu. Siapalah nak kat aku ni? Lainlah kau tu, cantik... Mesti ramai yang nak kat kau." Saya paling tak boleh dengar ayat macam tu. Kadang-kadang rasa macam dia nak sindir saya pun, ada juga. Hehe... Kita akan bagi orang nampak diri kita, berdasarkan apa yang kita fikirkan. Kalau kita fikir, kita tak cantik, memanglah orang akan nampak kita tak cantik. Cantik tu kan subjektif. Semua orang punya pendapat yang berbeza tentang cantik.

Jangan kita terlalu membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain. Cukuplah untuk jadi diri kita yang sebenar. Kurangkan mengeluh, atau jangan selalu sangat mengeluh, bila tengok orang lebih dari kita. Apa salahnya kita ambil positif, dengan cara berusaha menjadi yang terbaik. Tak susah kan?

Selamat Berusaha!

Tuesday, 23 November 2010

Bukan Mudah, Bukan Susah...

Sebenarnya, bukan mudah untuk mencari seseorang yang boleh menerima kita seadanya. Yang boleh menelan segala keburukan kita. Dan yang boleh menukarkan kekurangan diri kita itu, sebagai kebaikan di mata dia.

Tapi, bukan susah sekiranya kita bergantung pada DIA yang mengetahui segala-galanya yang baik dan buruk buat kita. Bukan susah untuk kita belajar menerima apa yang kita peroleh itu dengan seadanya. Bersyukur dan redha. Seandainya, itu yang tersemat di hati kita, itu yang tertanam di minda kita, InsyaAllah, tiada yang mustahil sebenarnya.

Buat gadis-gadis yang masih mencari jodoh yang sesuai untuk mereka, berusaha dan berdoalah. Semoga setiap tindakan kita itu, adalah yang terbaik buat kita, sekarang dan selamanya. Jangan putus asa! Akhir sekali, bertawakallah pada-Nya. Hanya DIA yang Maha Mengetahui.

Saya doakan yang terbaik buat kalian ya!

Sunday, 19 September 2010

Kalau Tak Rasa, Memang Tak Tahu

Pernah tak anda dikomplen oleh kawan anda yang konon-kononnya anda ni kedekut nak balas SMS dialah, tak nak call dialah. Saya? Dulu, selalu jugalah... Sekarang pun, kadang-kadang ada juga. Tapi, saya kan malas nak layan orang-orang yang terlalu sensitif, sampai kadang-kadang tak faham keadaan kita.

Senang cerita, bagi sayalah, semua orang pun ada kehidupan masing-masing. Tidak membalas SMS tu, bukan bermaksud melupakan... Kita belum rasa apa yang orang tu rasa, jadi kita tak tahu bagaimana sebenarnya keadaan itu. Mungkin sekarang ni, kita lapang, punya masa senggang yang banyak. Tapi, kawan kita tak semestinya punya waktu yang banyak seperti kita tu. Kalau kita nanti diletakkan di tempat yang sama seperti keadaan kawan kita sekarang ini pun, mungkin kita akan melakukan perkara yang sama.

Sebab itu, perkara-perkara begini kadang-kadang membuatkan saya malas nak layan mereka ni. Malas untuk memberi sebab lagi, nanti dikatakan oleh mereka alasan semata-mata. Jadi, diam lebih baik kan...

Tapi, bukan semua orang pun begitu ya! Ada yang sangat memahami keadaan kita, walaupun mungkin dia belum lagi merasai apa yang kita rasai sekarang ini. Saya bersyukur punya kawan seperti itu. Tak perlu sentap tak pasal-pasal kan.

Terus-terang ya, orang yang berkahwin ni, akan sedikit berubah. Banyak perkara yang perlu disesuaikan. Dari hanya menguruskan diri sendiri sahaja, perlu pula menguruskan pula pasangan. Dari punya satu keluarga yang besar, bertambah pula menjadi dua keluarga yang besar. Kalau Hari Raya, bayangkan berapa banyak rumah yang perlu dikunjungi? Banyak kan...

Kesimpulannya, kalau kita tidak berada di tempat seperti kawan kita tu, memang kita tidak akan tahu. Tapi, kalau cuba untuk memahami, tidak salahkan. Sama-samalah kita menjaga perhubungan baik yang telah terjalin sekian lama...

Thursday, 10 June 2010

Sekadar Ingatan & Teguran

Apa yang akan saya tulis hari ini, adalah berdasarkan pengalaman saya. Ini adalah sebagai ingatan & mungkin juga sedikit teguran, untuk mereka yang berada di sekeliling saya. Saya bukan mahu menunjuk pandai, atau macam saya bagus sangat. Tapi, tak salah kalau saya menegur berdasarkan apa yang pernah saya lalui.

Dah lama saya mahu keluarkan entri ini. Tapi saya mencari-cari masa, dan kalau boleh, biarlah ianya keluar dengan nada yang sedap didengar. Mungkin ada yang akan terasa, sebab itu saya mohon maaf terlebih dahulu. Saya mahu anda tahu, yang saya sayangkan anda, sebab itu saya menegur. Juga ingatan buat anda yang lain.

Khas buat para gadis,

Apa yang berlaku di depan mata saya, kadang-kadang menakutkan saya. Bukan saya mahu katakan bahawa lelaki tidak boleh dipercayai. Tetapi cubalah untuk berhati-hati. Untuk yang memang merancang untuk berumahtangga, dan sedang mencari calon suami, tanyalah pendapat ramai. Kenali hati budinya, bukan dengan berkawan bertahun-tahun. Tapi, dengan sedikit ujian.

Saya tak kisah, jika anda baru berusia awal 20-an, kerana anda masih punya banyak masa untuk mencari & mengenali calon suami anda. Tapi, jika usia anda telah pun mencecah lewat 20-an atau sudah pun memasuki usia 30-an, masa yang ada terlalu singkat. Pada waktu inilah, kebijaksanaan & sedikit pengalaman, amat diperlukan. Kalau mungkin bukan pengalaman sendiri, boleh bertanya pada orang yang lebih tua kan.

Bagaimana mahu mengetahui bahawa 'Si Dia' anda tu benar-benar jujur, dan memang mahu menikahi anda? Ini yang saya dapat, daripada pengalaman orang yang lebih dulu 'makan garam'.
  1. Cuba untuk ajak dia bertemu dengan keluarga anda. Kalau dia beri alasan belum bersedia, atau masih terlalu awal. Tanya padanya, bilakah waktu yang dia sudah bersedia. Kalau dia katakan, dalam masa setahun, lupakan saja.
  2. Kemudian cuba pula untuk bertanya tentang ahli keluarganya. Kalau dia mahu bercerita, katakan pula yang anda teringin sangat untuk bertemu dengan keluarganya. Kalau masih ada alasan di sini, saya rasa anda perlu fikirkan tentang perhubungan kalian.
Tempoh untuk mengenali hati budi, bukan perlu mengambil masa bercinta bertahun-tahun ye. Masanya adalah dalam tempoh pertunangan. Sebab itu, kalau dia betul ikhlas mahu memperisterikan anda, dia tidak akan berlengah bertemu dengan keluarga anda, sebelum anda membawa calon yang lain. Anda perlu tunjukkan padanya, bahawa anda punya banyak lagi calon, walaupun sebenarnya tiada pun. Ini sekadar ujian untuk tahu keikhlasannya.

Lelaki yang ikhlas, dan memang betul-betul mahu menikahi anda, tiada masalah untuk berbicara mengenai keluarganya. Apatah lagi untuk membawa anda mengenali keluarganya dengan lebih dekat. Dia mahu anda menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Dari segi agama Islam, kita digalakkan untuk mencari calon yang mempunyai pegangan agama, atau kalau bagi orang-orang tua, yang solatnya cukup 5 waktu & kenal huruf-huruf al-Quran. Ingat ya, dia akan menjadi pemimpin keluarga. Kalau dia mengambil lewa sahaja tentang hal ini, daripada sebelum berkahwin, jangan harap dia akan berubah selepas berkahwin. Lupakan sahaja orang seperti ini.

Sebenarnya tempoh untuk bercinta dan mengambil masa untuk ke langkah seterusnya, hanyalah 3 hingga 6 bulan. Bukan 3 tahun ye! Selepas 6 bulan, sekurang-kurangnya anda telah pun mengikat janji untuk ke alam rumahtangga. Cuba anda tanyakan padanya tentang hal ini. Jika dia tidak suka anda bertanyakan tentang hal ini, untuk apa dia bercinta dengan anda? Jadi, ambil langkah bijak! Jika dia memberi alasan tentang 'DUIT' yang masih belum cukup. Ingat tak entri saya yang ini? DUIT juga bukan alasan ya! Lelaki yang ikhlas, tidak akan memberikan alasan, tetapi dia akan berusaha untuk mendapatkan anda!

Bagi saya, anda perlukan sedikit keberanian dalam hal ini. Ini adalah tentang masa depan anda. Anda perlu berani menanggung sedikit risiko. Kalau dalam masa 3 bulan, masih tidak punya perkembangan yang memberangsangkan, beri kata dua padanya. Kadang-kadang, lelaki perlukan sedikit tekanan. Ini kata suami saya. Saya pernah buat, sebab itu saya berani katakan. Katakan padanya, sama ada dia mahukan anda atau tidak. Jika mahu, lakukan sesuatu yang menunjukkan dia benar-benar mahu. Sekurang-kurangnya, membawa keluarganya bertemu dengan keluarga anda. Jika tidak mahu, beritahu anda supaya anda tidak akan membuang masa menanti buah yang tidak gugur. Mungkin dia tidak akan beritahu secara berterus-terang yang dia tidak mahukan anda. Tapi, kalau dia memberi alasan demi alasan, seperti yang saya katakan di atas, itulah tandanya anda perlu tinggalkan dia! Mungkin anda akan sedih. Tapi lebih baik sekrang, daripada anda menanti bertahun-tahun, dan akhirnya tidak jadi. Lebih pedih, bukan?

Mungkin anda rasa tempoh 3 bulan terlalu singkat atau terlalu terburu-buru. Tidak, jika anda meminta bantuan-Nya. Saya ulangi, MINTA BANTUAN-NYA. Dia yang tahu, mana yang terbaik buat anda. Ketahuilah, bercinta selepas berkahwin itu lebih indah, daripada anda ke hulu ke hilir tanpa arah tujuan. Buang masa, buang tenaga, juga buang DUIT yang boleh anda & dia gunakan untuk perkahwinan anda.

Ingat ya! Jika anda masih muda remaja, tidak mengapa. Tapi, jika rakan-rakan sebaya telah berkeluarga, anda masih begitu, ambillah teguran saya ini secara positif. Ambillah iktibar daripada pengalaman hidup anda selama berpuluh tahun itu. Juga jangan malu untuk bertanya pada yang lebih berpengalaman, walaupun mungkin dia lebih muda dari anda...

Tuesday, 16 March 2010

SMS Yang Mengelirukan

Hari ini saya nak kongsikan sesuatu dengan anda semua. Saya telah menerima SMS seperti di bawah, petang semalam. Bagi saya ianya sangat mengelirukan, jika tidak difahami betul-betul.

"Slm.dlm surah as-saff ayt 10 mengatakan.WAHAI ORG2 YG BERIMAN MAHUKAH AKU TUNJUKKAN SESUATU PERNIAGAAN YG BOLEH MENYELAMATKAN KAMU DR AZAB SEKSA YG TIDAK TERPERI SAKITNYA..sy ada satu tawaran program,modal rm150,dlm ms semiggu "CONFIRM" dpt rm1500.jika anda ajak kwn2 join program ni,minimum seorang dpt rm2190.kita jumpa utk penerangan lebih lanjut.fhm dan dgr shj,tak rugi apa2 pun.sharing bnda yg baik,insyaallah berjaya..aminnnn..."

Saya bukan tak pernah dapat SMS begini, yang bertujuan mengajak saya meyertai perniagaan bersama-sama mereka. Tapi, ini pertama kali, saya mendapat SMS yang menggunakan ayat al-Quran untuk mengukuhkan lagi SMS mereka. Kalau setakat SMS tentang perniagaan yang saya sendiri tak tahu apa, dan tentu saya pun tak nak tahu, saya tak kisah pun. Tapi kalau sampai menggunakan ayat al-Quran, memang membuat saya rasa, saya perlu tahu, apa sebenarnya.

Hari ini, saya buka tafsir al-Quran, untuk memastikan tafsir ayat yang diberi itu, benar atau tidak. Dan memang benar, tafsir ayat itu, yang diberikan kepada saya, memang tepat. Tapi, jika dikaji daripada keseluruhan ayat, orang yang menghantar SMS ini boleh mengelirukan ramai orang. Surah as-Saff perlu difahami secara keseluruhan, bukan hanya menggunakan satu ayat, untuk konon-kononnya mengukuhkan perniagaan entah apa-apa yang mereka buat itu.

Sambungan daripada tafsir ayat 10 - "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"
Tafsir ayat 11 - "Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."

Saya tak pandai sangat tentang perkara-perkara ini, dan tak berani nak sentuh banyak-banyak, sebab takut tersalah tafsir. Kalau saya tersalah, tolong tegur ye. Tafsir sepenuhnya, boleh dilihat di sini.

Sebagai umat Islam, mana yang saya tahu salah, saya wajar tegur kan... Kepada pengirim SMS itu, telah pun saya reply semula SMS dia, minta dia untuk mengkaji Surah as-Saff sepenuhnya. Sesunggahnya yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu datang dari saya. Wallahualam.

Wednesday, 3 March 2010

Syafia Humaira - Ada Hikmahnya...



SYAFIA HUMAIRA - Seindah nama yang diberi, Syafia bermaksud penawar, sepatutnya anak ini menjadi penawar paling bernilai kepada kedua orang tuanya. Tapi, sebaliknya pula yang berlaku. Dia malah menjadi mangsa belasahan orang yang sepatutnya menjaganya.

PENING! Itulah yang timbul setelah membaca kisah-kisah mangsa, dan keluarganya di dada akhbar. Baca pengakuan yang dikeluarkan ibu mangsa, Siti Norhanim Aziz, 25, menimbulkan persoalan:
  1. Akhbar melaporkan yang beliau kini mengandung 4 bulan hasil perhubungan dengan suspek. Tetapi beliau menafikan berita ini.
  2. Akhbar juga melaporkan beliau dipercayai mempunyai seorang anak lelaki berusia 1 tahun 6 bulan, Shakimi Iqbal, juga hasil perhubungan dengan suspek. Tetapi beliau menafikan berita ini, dan mengakui Shakimi adalah anak beliau dan suami yang kini ditahan tanpa reman di Penjara Sg. Buloh atas kesalahan membunuh, sejak tahun 2006.
  3. Akhbar juga melaporkan, beliau dan suspek sudah mengenali sejak 6 tahun lalu.
  4. Mangsa juga dipercayai didera oleh lebih dari seorang.
Kalau dilihat, ramai yang menyalahkan suspek, termasuk beliau sendiri, dan bapa beliau sendiri tidak akan memaafkan 'pembunuh' cucunya. Kalau dilihat dari satu sudut, memang kelihatannya kesalahan diletakkan 100% dibahu suspek. Tapi, selagi mahkamah belum menjatuhkan hukuman, lagi pula pihak polis sendiri sedang menjalankan siasatan, janganlah kita hanya menuding jari menyalahkan sebelah pihak.

Apa yang dapat disimpulkan, betapa rapuhnya institusi kekeluargaan ini. Suspek dan ibu mangsa sudah lama bersekedudukan, dan dengan mengaburi mata masyarakat sekeliling, seolah-olah sepasang suami isteri. Mangsa sudah lama didera, dan tipulah kalau anak berusia 3 tahun langsung tidak mengadu yang dia didera. Bukankah kanak-kanak lebih jujur berkata-kata? Bagaimana keluarga ibu mangsa boleh membiarkan beliau tinggal dengan lelaki bukan muhrim, sedangkan beliau masih lagi berstatus isteri orang, walaupun suaminya kini dipenjara. Hanya mereka yang terlibat yang tahu, kenapa dan mengapa?

Sesungguhnya kematian adik Syafia Humaira, membawa seribu hikmah. Kita cuma doakan yang baik-baik buat mangsa, kerana syurga memang miliknya. Mungkin itu lebih baik kerana jika dia terus di sini, dia akan lebih terseksa dan hidupnya akan menjadi lebih trauma. Percayalah, perkara yang mungkar tidak akan selamanya dapat disimpan. Pemergian Syafia membongkar rahsia keluarga yang selama ini tersimpan rapi.

Al-Fatihah buat Syafia Humaira Sahari.

Monday, 1 March 2010

Jodoh Oh Jodoh

Soalan ini dah lama saya dapat. Dari entri saya yang ini. Baru sekarang saya berkesempatan untuk mengulas. Tapi, ingin saya ingatkan, apa yang akan saya ulas nanti, adalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya. Teguran dan komen dari pembaca yang lain juga sangat saya alu-alukan.

" salam maz, saya dan si dia kini dlm perancangan membina masjid bersama, sudah 3 thn kami bersedia dan merancang,kini kami sudah bekerja dan keluarga saya sudah menetapkan tarikh perkahwinan kami.

cuma masalahnya,setiap kali kami pilih tarikh untuk pertemukan kedua keluarga kami,setiap kali itu juga datang masalah yang menyebabkan pertunangan dan perbincangnan majlis terpaksa ditangguh..

akhirnya,kini baki yang tinggal cuma 3bulan dari tarikh yang telah ditetapkan,dewan sudah di tempah.mana mungkin kami membatalkan penempahan dewan.

adakah ini menunjukan yang kami tiada jodoh?apa yang perlu saya buat? "

Saya bukanlah pakar untuk menjawab soalan berkenaan jodoh ni. Jodoh itu rahsia Allah, dan itulah yang terbaik buat kita dan mungkin juga sebenarnya dugaan buat kita. Mungkin apa yang berlaku itu sebenarnya dugaan buat kita, atau sebenarnya petunjuk... Hanya tuan punya diri yang tahu jawapannya.

Caranya mudah, lakukan Istikharah, kerana hanya DIA yang tahu apa yang terbaik buat kita. Buatlah dengan seikhlas hati, insyaAllah DIA akan bantu. Akhir sekali, yakinlah dengan ketentuan-Nya. Kalau kita paksa ia jadi seperti yang kita mahukan, takut akhirnya kita yang sengsara.

Boleh rujuk artikel mengenai jodoh dan istikharah dalam blog saya:
Mengenai Jodoh
Jodoh Itu Keserasian
Istikharah - Jawapan Untuk Kekeliruan


Friday, 19 February 2010

Pinjaman Untuk Perkahwinan

Ingat tak pada entri mengenai 'Susah Mahu Kahwin?'? Kalau tak ingat, klik sini. Ada seorang kawan saya bertanyakan soalan di bawah :

" maz nk tannye skit soklan peribadi..
mz wat loan tak utk kawen nti? sbb skang nie byk org..n sy ade tanye kt member2 yg laki..deme buat personal loan utk kawen...tp x la byk...hmmm.. "

Hari ini baru saya berkesempatan untuk bagi sedikit komen mengenai hal ini. Ingat ye, ini adalah pandangan peribadi saya, yang menulis berdasarkan pengalaman sendiri. Jadi kalau ada antara anda rasa tak setuju dengan pendapat saya, jangan hentam saya, tapi boleh ulas komen saya ni. Saya mengalu-alukan.

Memang saya akui, untuk berkahwin memrlukan belanja yang besar, macam saya dah tulis kat entri inilah kan. Dan ada antara kita yang tidak mampu untuk mengeluarkan belanja yang sebanyak itu. Jadi, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, dan supaya perkara yang baik dapat disegerakan, jalan singkatnya adalah dengan membuat pinjaman peribadi. Saya rasa sekarang, banyak bank yang menawarkan kemudahan ini. Terpulanglah kepada diri masing-masing.

Persoalan ini terlalu subjektif. Tapi, jika saya ditanya soalan ini, saya rasa tidak perlu. Sebab, apabila pinjaman dibuat, tempoh pembayaran mengambil masa bertahun-tahun, kadang-kadang sehingga 15 tahun. Kalau 15 tahun, anak pun dah 5 agaknya. Tapi hutang belanja perkahwinan, masih belum habis bayar lagi. Lagipun, itu juga akan menambahkan lagi perbelanjaan bulanan kita, yang mana perbelanjaan selepas berkahwin adalah lagi besar daripada sebelumnya. Takut-takut sampai satu masa, kita tak mampu untuk menanggungnya lagi.

Seperti saya nyatakan sebelum ini, yang paling banyak menanggung kesannya adalah lelaki. Sebab itu sebagai lelaki saya rasa, perlu ada inisiatid untuk membuat simpanan, walaupun mungkin masa itu belum punya calon. Sebab semua orang pasti ingin berumahtangga kan? Tapi, wanita pun tidak terkecuali ye. Perlu juga untuk membuat simpanan. Takkan nak bergantung sepenuhnya kepada bakal suami. Tak banyak pun, sikitlah. Kecualilah kalau bakal suami tu, memang jutawan atau anak jutawan, yang kita hanya perlu goyang kaki.

Tapi, saya akui bukan semua orang punya jalan yang sama. Jika memang tiada pilihan, dan pinjaman perlu juga dibuat, ada sedikit nasihat buat anda. Kalau boleh buatlah pinjaman untuk amaun yang tidak cukup sahaja. Jangan meminta berlebih-lebih, kerana anda rasa anda layak untuk membuat pinjaman sebanyak itu. Sebab, bila anda dapat pinjaman itu, dan anda rasa pinjaman itu sudah lebih dari cukup, takut anda menggunakan pinjaman itu bukan untuk belanja perkahwinan semata-mata, malah mungkin juga untuk belanja peribadi. Itu yang bahaya.

Kalau boleh pinjaman itu jika dikhaskan untuk belanja perkahwinan, maka gunakanlah hanya untuk belanja perkahwinan. Dan jika ada lebih, gunakan wang itu untuk membayar balik pinjaman tersebut. Ingat ye, wang itu bukan wang anda, tetapi wang yang dipinjamkan oleh bank untuk anda. Jika ada lebih, bayar balik. Jadi ianya dapat mengurangkan hutang pinjaman anda.

Walau apapun, sama ada membuat pinjaman atau tidak, majlis walimah perlulah dibuat dengan sederhana. Takut lari pula dari tujuan asalnya. Kalau masih ingat, Walimatul-Urus ialah kenduri atau jamuan yang diadakan untuk meraikan perkahwinan, yang mana hukumnya adalah Sunat Muakkad. Adab mengadakan walimatul urus :
  • diadakan secara sederhana dan tidak membawa kepada pembaziran serta bergolok gadai.
  • tidak menimbulkan sifat ri'ak dan bangga diri.
  • tidak mengandungi unsur-unsur maksiat dan khurafat seperti mengadakan upacara menepung tawar untuk menolak bala atau percampuran bukan mahram tanpa batas.

Jadi, semuanya terpulang kepada individu masing-masing, sama ada mahu membuat pinjaman atau tidak. Cuma perlu difikirkan baik dan buruknya. Sekadar pendapat daripada saya.

Monday, 15 February 2010

Hasil Perlakuan Siapakah Ini?

Selepas satu, satu lagi kes yang sama berulang-ulang. Sepanjang minggu lalu sahaja, kita dihidangkan dengan kes-kes pembuangan bayi yang dibuat oleh hamba Allah, yang terlupa bahawa ada kuasa yang lebih besar dari mereka ini. Adakah dengan membuang anak yang tidak berdosa itu, dapat menutup keaiban yang telah mereka lakukan. Aib di dunia mungkin tertutup, tetapi aib di 'sana'. Hanya DIA yang tahu.

~ sumber : Berita Harian ~

Perasaan? Haruskah ada lagi perasaan sedih? Atau sebenarnya sangat marah dengan kekejaman demi kekejaman yang berlaku? Sukar untuk ditafsirkan. Menatap gambar sahaja, sudah cukup membuatkan hati ini terbakar. Ke mana perginya akal yang dikurniakan-Nya buat Khalifah di muka bumi ini? Bukankah kita diangkat darjat oleh-Nya untuk mengepalai dunia ini, tanpa melupakan kekuasaan-Nya.

~ sumber : Berita Harian ~

Selepas dihidangkan dengan berita-berita begini sepanjang minggu lalu, hari ini kita dihidangkan pula dengan berita yang lebih menyayat hati. Berita yang menjadi punca kepada kes-kes 'pembunuhan' bayi tanpa perikemanusiaan. Mereka inilah puncanya. Tidak serikkah mereka dengan paparan sepanjang minggu ini. Tidak tahukah mereka akan kesan dan akibatnya?

~ sumber : Kosmo ~

Anak-anak gadis sekalian, sedarlah... Bukan si lelaki yang akan menanggung kesannya nanti. Tapi, kamu yang akan membawa kesannya sepanjang hayat kamu. Percayalah, jika benar mereka ikhlas mahu memperisterikan kamu, tidak akan mereka lakukan begitu. Lelaki yang baik, akan menjaga kamu, bukan malah merosakkan kamu. Fikirkanlah ibu dan ayah yang melahirkan dan membesarkan kamu.



Saya terpana, kerana mereka yang tertangkap itu kebanyakannya anak gadis yang bertudung, malah yang paling dikesalkan adalah mereka ini pelajar IPT. Kalau belum nikah, sudah diberi, mahukah lelaki itu mengahwini kamu? Fikirkanlah...

Semoga kita semua dilindungi dari bala dan malapetaka-Nya. Ameen...

Wednesday, 27 January 2010

Kerana Pulut, Santan Binasa. Kerana Mulut...

Peribahasa kat atas ni, kita biasa dengar kan? Lagi-lagi masa zaman sekolah dulu. Sebab tu kita disuruh jaga mulut, kalau nak berkata-kata. Takut tersalah cakap nanti, yang merana kita juga. Tanpa sedar bukan sahaja akan menyusahkan orang yang kita kata tu, malah nanti kena balik dekat kita.

Hidup kita ibarat roda, hari ini kita buruk-burukkan orang. Esok lusa, orang buruk-burukkan kita balik. Kadang-kadang kita dapat lebih lagi daripada itu. Doa orang teraniaya itu, dimakbulkan Tuhan kan.

Masa suka, semua yang baik-baik sahaja kita cerita. Bila dah benci? Yang buruk-buruk je kita cerita. Tanpa mahu ingat secebis pun kebaikan yang dibuat. Setitik kebencian ada di dalam hati kita, rosaklah hati itu. Padahal kalau kita maafkan orang itu dengan ikhlas, hati kita juga akan tenang.

Dalam percintaan, melibatkan dua buah pihak. Kalau berlaku perpisahan, takkan sebelah pihak je yang salah. Biasalah kita akan menegakkan kebaikan kita, hinggakan tanpa sedar kita telah memburuk-burukkan pihak satu lagi. Tapi, kalau kita redha dengan apa yang terjadi, tak perlu diungkitkan lagi kisah-kisah silam, hati pun tenang, dosa pun terlepas. Tapi kalau kita asyik nak buruk-burukkan orang, sedangkan perkara itu dah bertahun-tahun berlaku, hati sakit, jiwa tak tenteram, lepas tu, tambah dosa lagi.

Kemaafan itu, dendam yang terindah kan...

Kehangatan mentari ku rasakan
Tak sehangat api perbalahan
Ku ketuk pintu hati
Senyap dan sunyi
Tiada jawapan yang ku perolehi

Dinginnya malam itu bagai salju
Tidak sedingin perasaanmu
Kau sengaja membina dinding pemisah
Di antara kita tak lagi bersemuka

Kekasih ku... ku rasakan perlu
Menitip surat buat tatapan mu
Sekali ini aku rela merendah diri beralah
Agar perhubungan terjalin semula

Kekasih ku... tak mungkin ku tahu
Apa tersirat dihati kecil mu
Andainya aku yang bersalah
Maafkan saja...

Kemaafan dendam yang terindah...

Kehangatan mentari dingin salju
Bertukar ganti hari ke hari
Aku masih di sini
Sabar menanti
Terbuka kembali hatimu yang terkunci...

Nota Hati : Takut tersalah taip...

Sunday, 24 January 2010

Susah Mahu Kahwin?

Sepanjang minggu ini, saya dihadapkan dengan beberapa persoalan mengenai perkahwinan. Dan persoalan itu datangnya dari mereka yang belum berkahwinlah. Mereka memberitahu saya, bagaimana mahu berkahwin, kalau duit tiada. Kalau ada pun, cukup-cukup je. Sekarang pun tiap-tiap bulan, rasanya mengikat perut je...

Ok, jawapan saya mudah je. Apabila kita berniat untuk 'membina masjid', insyaAllah, rezeki itu akan datang. Kenapa kita selalu memikirkan sesuatu yang belum pasti jadinya. Kepada mereka yang belum berkahwin, cuba tanya kepada kawan-kawan yang dah pun selamat berumahtangga. Susah ke?

Kalau ditanya kepada saya, betul memang untuk berkahwin, mengadakan majlis kenduri, memang memerlukan terlalu banyak wang. Terutamanya sebelah lelaki, iaitu bakal pengantin lelaki. Sekurang-kurangnya RM30k mesti ada. Sebelah perempuan pun sama juga sebenarnya, dan kadang-kadang lagi banyak pula dari pihak lelaki. Itu cuma untuk majlis yang sederhana sahaja. Kalau yang grand, tentulah lagi banyak.

Kalau kita sentiasa mahu semuanya telah tersedia, mahu cukupkan dulu simpanan, rasanya sampai bila-bila pun, impian perkahwinan hanya tinggal angan-angan. Setelah habis perkahwinan, kita memikirkan pula tentang kehidupan selepas perkahwinan. Lagilah rasa sangat kusut! Saya sendiri pernah menimbulkan persoalan ini kepada En. Tunang, dengan berbagai-bagai andaian. Jawapan En. Tunang mudah sahaja, 'Kadang-kadang sesuatu yang kita fikirkan rumit itu, sebenarnya tidaklah rumit pun. Hanya andaian kita yang pelbagai itu, yang kadang-kadang menyesakkan fikiran'.

Kalau semuanya kita fikirkan pasal duit, memang tidak ada yang cukup. Sebab itu kita disuruh bersyukur. Memang saya akui, saya pernah menangis beberapa bulan lepas, sebab saya rasa, saya langsung tidak punya wang untuk menjalankan majlis perkahwinan ini. Tapi, bila hari-hari dilalui, semakin dekat detik itu, saya rasa mudah. Saya rasa DIA tunjukkan jalan, untuk saya ke situ. Alhamdulillah...

Jadi anda semua yang mahu berkahwin, tapi duit tak ada, jangan risau. Sekali berniat, langkah telah dimulakan, insyaAllah, jalan pasti ada. Yang penting mulakan langkah itu. Sekurang-kurangnya, bertunang. Sebab bagi saya, selagi hubungan itu tidak diikat janji, selagi itu kita rasa susah sangat. Saya doakan buat anda semua ya!

Nota Hati : Berusaha, berdoa & tawakal. DIA ada dengan kita...

Friday, 8 January 2010

Menulis Blog, Seperti Terapi Juga

Setelah lama berkecimpung di dalam dunia penulisan blog. Bermula dari akaun di Friendster, sampai ke Blogger, macam-macam yang telah saya lalui. Niatnya hanya untuk tatapan sendiri di masa hadapan. Juga buat tatapan anak-anak nanti. Sekurang-kurangnya mereka tahu, ibu mereka ini sangat rajin menulis. Wah, gituu...

Tapi, makin lama makin ramai pula yang ke mari. Bermula dengan blogger yang tidak dikenali, sehinggalah kepada orang yang dikenali dan mungkin juga orang yang rapat. Ye, saya tahu kamu menjadi pembaca blog saya dalam diam. Saya lebih rela orang yang tidak dikenali membaca blog saya, daripada orang yang kenal rapat dengan saya. Kenapa ye? Sebab, lebih banyak yang perlu saya jaga dari segi penulisan saya. Nak kutuk orang pun tak boleh sebarang kutuk, takut-takut orang tu pun tengah baca ni ha...

Memang saya suka luahkan rasa marah saya, rasa kecewa saya, rasa sedih saya, di sini. Dan saya juga suka untuk menceritakan rasa gembira dan rasa bahagia saya. Kalau luahan rasa marah saya tu, ada kaitan dengan orang yang terdekat dengan saya, nampaknya kena lebih berhati-hati lepas ni. Tak boleh ikut suka macam dulu-dulu. Kang tak pasal-pasal kena perli. Kadang-kadang cerita biasa-biasa mengenai diri saya pun boleh jadi isu. Pasal bantal busuk pun, boleh kena perli kat ofis. Macam mana? Ok2 jangan bangkitkan lagi isu ini yer...

Yang bestnya, En. Tunang beritahu Mak beliau pun membaca blog saya. Oops, kena jadi lebih sopan santun. Hahaha! Macam hipokrit pula. Baru-baru ini, saya ditegur oleh seseorang, mengenai saya yang terlalu exposed tentang persiapan perkahwinan saya. Dia minta saya jangan beritahu semua. Saya cuma cakap, semua ni untuk anak-anak. Hehe... Ok, buat pengetahuan anda, bukan semuanya tentang persiapan perkahwinan saya, diceritakan di sini. Kalau saya cerita pun, cuma sekadar cerita, tanpa gambar sebenar kan. Gambar-gambar yang ada tu, saya google jer. Tapi kalau ada info menarik untuk B2B, tak salah saya kongsikan kan? Hmm, apa-apa ajalah...

Bagi saya, orang yang tidak menulis blog, tidak akan tahu betapa seronoknya menulis blog. Betapa seronoknya, dapat mengimbau setiap kenangan dalam kehidupan kita di sini. Tak kiralah, pahit atau manis. Dan bagi saya juga, di sini kita memperoleh ramai kawan baru dari seluruh pelusuk dunia. Wah, gitew... Bukankah saya bertemu dengan En. Tunang di sini juga...

Nota Hati : Nak cuba jadi blogger tegar. Hehehe...


Friday, 1 January 2010

Selamat Jalan 2009, Selamat Datang 2010

Yang pergi, tetap akan pergi. 2009 dah pun berlalu, hari ini dah 2010 pun. 2009 yang terlalu banyak kenangan pahit & manis, yang terlalu banyak pengajaran yang saya peroleh.

Setiap yang pahit, pasti akan ada manisnya. Pahit itu diberi supaya bila manis itu datang, rasanya akan dihargai. Kalau boleh, tak mahu lagi diingat kisah-kisah pahit itu. Tapi akan saya kenang untuk saya jadikan pengajaran, supaya berhati-hati dengan semua orang, walaupun orang itu sangat baik dengan kita.

Yang manis, menjadi ingatan abadi selagi hayat. Dipertemukan dengan bakal suami, dan insyaAllah dalam tempoh 4 bulan akan menjadi milik abadi beliau. Pertemuan sangat singkat, dan yang penting direstui kedua ibu bapa. Alhamdulillah, ikat janji berjalan lancar, dan itulah doa saya untuk majlis kami nanti.

Harapan 2010, saya mahu menjadi anak yang terbaik buat Mama dan Ayah. Lagi pula, saya akan menjadi milik insan lain pula selepas ini. Selepas ijab kabul, moga saya diberi kekuatan untuk menjadi isteri solehah buat beliau, dan insyaAllah mahu punya zuriat sendiri. Semoga kami dimurahkan rezeki selalu, dan yang paling penting semoga saya menjadi insan yang sangat tabah menghadapi pelbagai rintangan yang mendatang.

Saya berdoa, semoga negara kita diberi kemakmuran sepanjang tahun 2010 ini. Jadilah rakyat yang berhemah yer...

Friday, 25 December 2009

Jangan Mempergunakan Mereka

Dua hari lepas, semasa sibuk mahu memberi makan kepada Si Putih kesayangan saya di Esso, saya didatangi seorang anak kecil, lingkungan umur 6-7 tahun, memberitahu yang dia anak yatim yang ingin menjual CD lagu-lagu nasyid. Lepas saya katakan tidak mahu, dia minta pula sedikit sumbangan ikhlas.

Apa yang ingin saya kongsikan ini, pasti anda pun pernah melaluinya juga. Saya bukan tidak mahu memberi sumbangan kepada anak-anak itu, tapi saya tahu ke mana duit itu akhirnya. Kejadian ini pernah berlaku di depan mata saya sendiri. Mereka ini telah berjalan dari satu tempat ke satu tempat, untuk meminta sumbangan. Tapi mereka sendiri kelaparan, kerana tidak dibenarkan pun menggunakan wang itu barang sesen pun, walau hanya untuk memberi makanan. Bukankah itu wang mereka, kalau benar mereka anak yatim.

Sehinggalah ada seorang pakcik ingin memberikan mereka makan, mereka makan seperti sangat-sangat lapar. Sedang mereka menjamu selera, datang ketua mereka marah-marah kerana mereka sepatutnya mencari wang sumbangan. Nampak kan? Wang itu memang bukan untuk mereka. Tapi untuk 'ikan jerung' yang kelaparan. Menggunakan kanak-kanak yang masih putih itu, untuk memberikan makan kepada mereka.

Saya sendiri punya anak buah yang memang anak yatim. Jika benar mereka itu anak-anak yatim, sudah pasti saya akan terkenangkan anak-anak buah saya. Setiap anak yatim, ada rezeki mereka, dan bukan tugas mereka untuk berjalan merata-rata semata untuk mencari wang sesuap nasi. Lembaga zakat sendiri ada menyediakan peruntukan untuk mereka. Lagipun, bukankah HARAM memakan harta anak yatim...

~ Renung-renungkan & Selamat Beramal ~


Friday, 18 December 2009

Azam?? Tahun Baru Kan...

Seperti biasa, sejak dari kecil kita disogokkan, setiap menjelang tahun baru, kita perlu memperbaharui azam kita untuk tahun mendatang. Tapi, fahamkah kita pada konsep azam itu. Sebenarnya, apabila kita cuba untuk memperbaharui azam, baru kita sedar, banyak azam yang telah kita buat, tak tercapai pun lagi. Dan kadang-kadang azam itu diperbaharui saban tahun.

Bukanlah saya memandang rendah untuk kita semua berazam. Azam itu, seumpama matlamat hidup juga. Tapi, kenapa perlu setiap kali tahun baru, untuk memperbaharui azam? Bukankah setiap kali terjaga dari lena, kita perlu berazam. Kadang-kadang kita tak perasan pun yang apa yang kita lakukan itu, merupakan sebahagian daripada azam. Matlamat yang ingin dicapai sepanjang hari tersebut.

Dulu, sewaktu bersekolah, berazam untuk menjejakkan kaki ke universiti. Mahu menjadi insan terpelajar. Alhamdulillah, walau jalan ke situ agak perit, tapi saya berjaya mencapainya. Bila sudah selamat berada di dalam universiti, berazam untuk mencapai keputusan terbaik, agar mudah memperoleh pekerjaan. Yang ini, DIA bagi jalan yang mudah buat saya, 2 minggu tamat pengajian, result akhir pun belum keluar, saya sudah dipanggil memulakan kerjaya. Cuma jalan sewaktu di alam pekerjaan memang penuh ranjau, onak & duri. Namun bersyukur, kerana saya punya pekerjaan, mampu untuk membayar semula pinjaman pengajian.

Selain daripada itu, setiap yang diingini wanita ialah, bertemu jodoh yang baik, dan dikurniakan keluarga yang bahagia kan? Awal tahun lepas, saya berazam untuk mengikat janji pada tahun tersebut, tahun 2008, dan diikuti dengan mengakhiri zaman bujang pada tahun ini. Tapi, ada sebabnya kenapa semuanya lambat sedikit dari perancangan. Kita hanya mampu merancang & berusaha sehabis baik. Segalanya, DIA yang tentukan. Bukankah DIA lebih tahu.

Namun saya bersyukur, dengan perancangan DIA, segalanya berjalan dengan baik. Memang jalannya agak berliku untuk ke sini, tapi saya bersyukur kerana banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan ini.

Saya berharap tahun akan datang akan dilalui dengan kebahagiaan. Jadikan saya seorang yang tabah dalam menghadapai segala rintangan & cabaran. InsyaAllah...

Tuesday, 10 November 2009

Belajarlah Bersyukur

Saya rasa sudah beberapa kali, saya buat entri mengenai bersyukur. Lihat di sini & di sini juga.

Pertamanya, saya ingin mohon maaf, andai entri kali ini, ada terkena kepada sesiapa. Dan sesungguhnya, memang saya mahu orang itu tahu.

Pagi tadi, on saja YM, ternampak ID seseorang menyala, dengan quote yang mengeluh tentang tempat kerja beliau. Saya kasihankan beliau. Yelah, dulu masa di company lama pun, mengeluh juga, konon bosan. Di company yang sebelum lagi pun, mengeluh juga, gaji kecil. Saya pula yang pening melihatkan beliau. Bukan saya mengambil tahu hal orang ye. Orang tu pun, bukan orang lain pun, tapi kawan saya juga kan.

Kadang-kadang, kita rasakan apa yang kita lalui kini ada sahaja yang tidak kena. Apabila kita peroleh tawaran yang lain, kita rasakan ianya lebih baik daripada sekarang. Tapi, apabila kita telah pun menerima, ianya tidaklah seindah yang kita sangkakan. Setiap benda di dunia ini, tiada yang sempurna, dan kerana ketidak sempurnaan itulah, kita diajar untuk bersyukur. Bersyukur, bukan bermaksud, berserah. Bersyukur bermakna, menerima segala-galanya dengan redha, di samping menerapkan hati, sesungguhnya ada hikmah terselindung di sebaliknya. Namun, bukanlah bermaksud, apabila sudah bersyukur, kita tidak perlu lagi berusaha untuk mencari yang lebih baik. Bukan ya...

Saya tahu, kadang-kadang saya pun ada juga mengeluh. Tapi, saya fikirkan semula, ada orang yang lebih sengsara daripada saya. Sekiranya ini ujian dari-Nya buat saya, untuk menjadikan saya lebih kuat & tabah, saya redha. Itu tandanya, Dia mengingati saya, walaupun terkadang saya alpa. Saya manusia biasa, yang tak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan.

Sebab itu kita diajar, beristikharah. Kita juga diajar untuk bertaubat. Sesungguhnya Islam itu indah, andai dihayati dengan sesungguhnya. Sebagai umat-Nya, tak salah kiranya saya menjalankan tanggungjawab untuk saling ingat-mengingati.

Sekadar bicara daripada saya yang lemah. Wallahualam.