:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Showing posts with label Catatan Isteri. Show all posts
Showing posts with label Catatan Isteri. Show all posts

Monday, 21 May 2012

Ada, Tapi...

Sebenarnya rasa bersemangat mahu menulis. Idea pun banyak je... Tapi bila nak mula menaip, macam ada je halangan. Ke alasan je tu? Hehehe...

Rasanya macam terlebih rajin menulis di blog yang satu lagi. Kalau rasa-rasanya tengok saya macam kurang menulis di sini, cuba tengok di sana. Hari-hari pun ada...

Oh, saya masih pengguna Shaklee & masih berbiz Shaklee. Hari tu macam terberhenti kejap, masa awal-awal mengandung dulu. Kalau rasa-rasa mahu tahu lebih lanjut tentang produk Shaklee, dan pelbagai lagi info kesihatan, bolehlah ke blog Stor Vitamin saya tu.

Ok, sampai sini dulu. Daa...

Sunday, 13 May 2012

Kami Ke JB

Dari hari tu berjanji nak buat entri masa sambutan ulangtahun kedua perkahwinan kami. Tapi, sampai ke sudah tak buat-buat kan. Haiisshh... Berjanji lagi... Maaf kepada yang tertunggu-tunggu tu. Terlalu sibuk dan terlalu penat. Maklumlah 'Mak Buyung'. Hahaha!

Disebabkan tarikh 1 Mei jatuh pada hari Selasa, jadi saya memang plan untuk bercuti pada hari Isnin, 30 April. Kalau tidak merancang untuk bercuti-cuti pun, saya plan untuk buat sesuatu yang istimewa, memasak mungkin... Tapi, Suami beritahu yang beliau perlu ke JB atas urusan kerja pada hari tersebut. Apa lagi, tentulah nak ikut kan... So, sememangnya kami plan untuk bermalam di JB dan meraikan ulangtahun di sana.

Tapi, kita hanya mampu merancang kan. Tiba-tiba suami kena panggil ke training di KL pada hari Isnin tu. Tak apalah, redha jelah... Lagipun beliau cakap akan ke JB petang tu juga, selesai training. Jadi, xdelah frust sangat kan. Sekali lagi, apa yang dirancang tak jadi, training habis pukul 7 malam, dan pukul 9 malam suami sampai rumah. Kalau ikutkan, beliau nak jalan malam tu juga, sebab tak nak kecewakan kami berdua yang dah tunggu dari pagi. Tapi, saya tengok beliau sangat letih, tak apalah... Tunda perjalanan esok pagi. Maknanya tak jadilah nak bermalam di JB. Nasib baik memang belum booking hotel. Kalau tak memang frust sangatlah kan...

Jadi, kami bergerak pada pagi 1 Mei dari Bangi. Alhamdulillah, Sakinah tak meragam dalam perjalanan, walaupun agak jauh kan. Diam je duduk dalam car seat, langsung tak minta keluar. Dapat buku, dok membebel sorang-sorang kat belakang. Tak banyak tempat pun kami pergi, sebab suami ke sana pun atas urusan kerja kan. Yang bestnya, dapatlah singgah di JPO yang diperkatakan ramai tu. Memang seperti yang dijangka, barangan branded memang murah-murah. Tak memborong pun, tapi insyaAllah akan pergi lagi...

Walaupun apa yang kami rancangkan banyak perubahan di saat akhir, namun saya tetap bersyukur dan gembira. Tak apalah, mungkin bukan rezeki kali ini. Akan datang, mana tahu lebih baik lagi kan... Kat bawah sedikit koleksi gambar 'Kak Nam' kesayangan saya masa di sana...




 


Wednesday, 2 May 2012

Ulangtahun Ke-2. Alhamdulillah...

Alhamdulillah, semalam genap usia perkahwinan kami 2 tahun. Dan hari ini, sudah masuk tahun ketigalah kiranya kan? Semalam tak sempat buat entri baru, sebab sibuk berjalan-jalan dari pagi sehingga ke malam. Auto publish pun tak ada. Ingatkan nak buat minggu lepas. Tapi, Sakinah tak sihat sepanjang minggu lepas. Jadi, bila di rumah masa yang ada hanyalah untuk melayan karenah anak dara tu.

Nak cerita apa yang kami buat semalam, seharian suntuk. Sebenarnya, perancangannya lain, namun ketetapan Allah juga yang mengatasi segala-galanya. Apa yang penting, kami tetap gembira, walau apa pun perancangannya.

InsyaAllah, kalau sempat, malam ini akan menyusul entri aktiviti kami semalam. Tunggu yer...

Monday, 23 April 2012

Tiada Yang Berbeza

Alhamdulillah, usia perkahwinan bakal menjengah ke angka 2, kurang seminggu je lagi. Serasanya baru je lagi kami bernikah tempoh hari. Sedar tak sedar, dari 2, hampir menjadi 4 dalam 3 bulan lagi, InsyaAllah. Bagi saya, tempoh 2 tahun mungkin belum apa-apa lagi. Masih baru lagi. Masih banyak yang perlu dipelajari. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Masih berusaha, hari demi hari.

Dan Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini juga, rasanya tak pernah kami bergaduh besar. Harap-harapnya tidaklah sampai bila-bila. Bertekak kecil-kecilan tu adalah. Biasalah, suami dan isteri datang dari dua buah keluarga yang berbeza. Dibesarkan dengan cara yang berbeza. Dan masing-masing punya ego sendiri. Sebab itu perlunya 'give and take'. Sama-sama ya! Bukan seorang sahaja.

Baru-baru ini, ada satu topik yang diutarakan di salah sebuah 'Facebook Group' yang mana ahlinya adalah kebanyakannya isteri-isteri merangkap ibu-ibu yang bekerjaya. Mereka mengatakan yang isteri lebih banyak berkorban berbanding suami. Maaf, saya paling tidak suka kalau siapa-siapa, sama ada suami atau isteri mengeluarkan statement seolah-olah dia yang berusaha paling banyak, dia yang paling banyak berkorban. Sememangnya, kita akan sentiasa merasakan kita telah melakukan yang terbaik. Namun, janganlah perasaan kita itu menimbulkan rasa ego, sehingga mengeluarkan statement seperti itu. Bagi saya, itu samalah juga dengan memburukkan pasangan kita secara tersirat. Walaupun tanpa kata-kata, 'Pasangan aku tu, bukannya bagus sangat pun...'

Bagi saya, dalam perkahwinan, sama-sama telah banyak berkorban. Mungkin isteri rasa dia banyak berkorban, sebab dia yang paling banyak buat kerja yang nampak, macam menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Kalau suami pula jenis pendiam, tak banyak cakap, mungkin jadi sebab isteri rasa suami tak banyak membantu. Tapi janganlah pula kita terus merasakan yang kita paling banyak berkorban. Banyak atau sedikit pengorbanan yang telah kita buat, bukan kita yang menilainya. DIA lebih tahu. Biar dia saja yang menilaikan.

Selagi kita berfikir-fikir perkara-perkara tersebut, selagi itu perasaan tenang tidak akan muncul. Bukankah syaitan suka andai masjid yang dibina itu runtuh. Ketahuilah, setiap pengorbanan yang telah kita lakukan itu, pahala balasannya dan insyaAllah syurga tempat kita. Lagipun, pengorbanan itu bukan untuk siapa-siapa. Untuk suami dan anak-anak, yang akan membawa kita ke syurga yang hakiki.

Saya pun bukanlah yang terbaik untuk manjadi penasihat hal rumahtangga, sementelah rumahtangga sendiri baru menjengah usia 2. Bukan saya tak pernah punya perasaan seperti itu di awal-awal perkahwinan. Namun, saya cuba sentiasa berfikiran positif. Insyaallah semuanya akan baik-baik saja. Ameen...


Thursday, 29 March 2012

Betul Ke Ni?

Sebenarnya, ramai macam tak perasan yang saya sedang mengandung. Dah nak masuk 6 bulan pun. Masing-masing cakap, tak nampak pun perut. Lagi pulak, saya masih boleh berbaju kurung. Sama macam masa mengandungkan Sakinah dulu. Dah masuk 8 bulan, baru tak usik semua baju kurung. Tapi kali ni, saya rasa macam perut besar sikit dari sebelum ini. Sampai bila agaknya boleh terus berbaju kurung, tunggu...

Memanglah berbeza masa mengandung sulung, dengan mengandung kali kedua ni. Lagi pula, Sakinah masih kecil, dan belum nak faham, jadi kadang-kadang dia lasakkan je Ibu dia ni. Juga sama macam dulu, tak ada mabuk atau muntah-muntah. Cuma badan sangat cepat letih. masa awal-awal mengandung dulu. Sekarang, dah kurang sikitlah. Alhamdulillah...

Bercerita pasal Sakinah, dia memang sangat-sangat manja. Manja dengan sesiapa je pulak tu. Kalau dia bandingkan saya dengan Suami, dia lebih manja dengan Babah dia kot... Tapi, kalau tidur, tetap sepak Babah suruh tidur kat bawah. Hehe... Kadang-kadang macam tak percaya je dia dah nak jadi 'Kakak'. :)


Ini budak manja tengah tunggu Babah balik keje. Sanggup tunggu sampai Babah balik. Pantang dengar saya call Babah dia, cepat-cepat ambil telefon nak cakap dengan Babah...

Tuesday, 20 March 2012

Ini Namanya Rezeki

Aritu bagitau nak cerita pasal perkembangan terkini kan. Oppss, saya lupa, saya off blog ni kepada public beberapa minggu yang lepas, sebab ada buat sedikit renovation. Semoga dengan wajah baru ni, memberikan saya semangat lebih sikit untuk menulis. Bajet ramai sangatlah yang baca blog ni. Hehehe...


Header baru tu, rekaan sendiri je. Tu pun rasa macam perlu edit lagi. Tapi, xpelah pakai apa yang ada dulu. Nanti kalau ada idea lebih sikit, insyaAllah kita tukar yang lebih baik. Oh ye, kalau perasan, description blog pun saya dah tukar. Kalau dulu, 'Langkah Demi Langkah : Bila Minda Berfikir, Hati Berbicara'. Yang baru ni saya tukar jadi, 'Bertemu Cinta Di Dalam Restu. Moga Kasih Kekal Bersatu. Hanya Syurga Tempat Dituju.' Ok x? Hehehe...

Ok, dah habis cerita pasal perkembangan blog, yang insyaAllah akan menjadi lebih berkembang lagi. Sekarang cerita pasal perkembangan diri dan keluarga pula ye... Anak dara saya tu akan berusia 15 bulan pada 8 April nanti. Dah semakin bijak, Alhamdulillah... Ini gambar yang agak terbarulah juga. Dah boleh buat tocang pokok kelapa 2 batang. Hehehe...


Yang lebih menggembirakan dan menyeronokkan, insyaAllah anak saya akan bergelar 'Kakak' dalam masa 4 bulan lagi. Hehehe... Terkejut kan? Ini memang betul-betul rezeki. Sebab saya memang mahu menjadi ibu 2 anak sebelum menjelang usia 30 tahun. Alhamdulillah, Syukur sangat-sangat!


Maknanya, Hari Raya Aidilfitri tahun ini, sekali lagi akan disambut bersama-sama dengan ahli keluarga baru. Seronok sangat rasanya! InsyaAllah, esok genap usia kandungan 22 minggu. Dalam masa 18 minggu lagi, naiklah pangkat Annaurah Sakinah. :)

Itu jelah untuk hari ni ye... Nanti kita sambung cerita-cerita lagi, ok....

Tuesday, 13 March 2012

Masih Di Sini

Lama rasanya tak menulis. Lama sangat! Nak kata sibuk sangat, takde pun. Kalau sibuk pun, kadang-kadang jelah. Cuma, mood menulis tu dah ke laut. Hehe...

Tapi, saya tetap berblogwalking. Tetap tahu perkembangan blogger-blogger lain yang masih tegar menulis, walaupun anak tengah lasak yang amat! Sekarang ni, nak buka laptop kat umah, kena tunggu si toncet tu tidur. Nak pegang tablet pun tak boleh, kalau dia masih celik mata. Sibuk nak main dengan Tom Cat dia tu. Sabar jelah kan...

Sesungguhnya, anak saya tu sangatlah Kak Nam nye... Banyak sangat cakap yang tak tahu butir bicara. Tapi, itulah yang membuatkan saya merinduinya setiap masa. Syukur atas kurniaan-Nya.

InsyaAllah, entri akan saya ceritakan perkembangan kami sekeluarga lepas ni. Apa yang berkembang? Badanlah kot kan. Hahaha!

Monday, 5 September 2011

Lupakan Mood Raya. Kembali Bekerja!!!

Assalamualaikum warahmatullah...

Lama tak menulis, sejak entri saya yang terakhir bertarikh 18 Ogos 2011. Lama kan? Buat pembaca blog saya ni, pastinya tertanya-tanya, ke manakah menghilangnya penulis blog ni. Takkan sudah bermood raya awal-awal lagi kan? Hehe...

Ramadhan terakhir saya, betul-betul menguji apabila saya dan anak kesayangan diberi ujian kesihatan. Bersama-sama, pada waktu yang sama. Alhamdulillah, menjelang raya, semuanya semakin pulih. Cuma masih batuk & selsema sikit je. Lebih baik berbanding sebelumnya.

Hari ini dah mula bekerja, dengan membawa sekali mood raya. Haha! Bisnes pun, sejak kesihatan sedikit terganggu ni, dah ke laut. Ni nak kena bersemangat semula ni. Semoga DIA memudahkan segalanya.

Kepada para pelanggan saya yang mahu order vitamin, macam biasa, hubungi saya ya. Yang rasa-rasanya nak jadi pelanggan saya pun jangan lupa hubungi saya ya! Oh ya, bulan September ini ada beberapa tawaran istimewa untuk ada. Hubungi saya di mazzni_puteri@yahoo.com.my. =)

Rasanya tak terlambat lagi untuk saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN. InsyaAllah saya akan cuba update cerita-cerita raya kami sekeluarga. Tunggu ya!


Wednesday, 18 May 2011

Sekejap Ada, Sekejap Lagi Dah Hilang...

Lama betul tak menulis kan. Kalau ada entri pun, entri yang auto publish, yang dah lama saya simpan dalam ni. Kenapa ye? Mood untuk menulis tu, macam kejap ada, kejap lagi kang hilang. Aduh, memang masalah ni...

Saya akan cuba untuk konsisten menulis. Doakan saya ye... Mmm, lagi pun ada sesuatu yang ingin saya kongsikan dengan anda semua. Sesuatu yang telah saya alami, saya mahu anda pun sama-sama mengalaminya. Semoga kita akan sama-sama memperoleh manfaatnya. InsyaAllah...

Yang penting, kena tunggu dulu ok! Jaga diri ya kawan-kawan...

Tuesday, 26 April 2011

Banyak, Tapi Satu-satu Ya!

Lamanya tak update blog. Cerita check up Sakinah 3 bulan pun tak buat lagi. Tunggu ye...

Monday, 4 April 2011

Jarang Menulis

Oh, lamanya tak menulis di blog sendiri. Hanya berjalan-jalan dari satu blog ke satu blog sahaja. Diari isteri & ibu ini, sangat sibuk! Ditambah dengan ketiadaan idea untuk menulis. Kalau menulis pun, pasti mengenai Sakinah kesayangan, yang semakin membesar dengan jayanya. Alhamdulillah...

Faktor-faktor lain, agak susah untuk menaip entri baru di ofis, sebab kerja yang semakin banyak. Lagi pula kena gunakan waktu bekerja untuk bekerja sepenuhnya, sebab saya akan ambil masa sekurang-kurangnya 2 kali untuk keluar mengepam susu. Alhamdulillah, susu masih banyak, walaupun tak meriah. Masih cukup untuk bekalan Sakinah sepanjang saya keluar bekerja. Semoga dimurahkan rezeki Sakinah.

Kami sekeluarga baru berpindah ke kediaman baru yang lebih dekat dengan rumah BS Sakinah, dan juga dekat dengan rumah FIL saya. Rasanya banyak yang dapat kami jimatkan, walaupun rumah yang lama lebih baik dari rumah sekarang. Tak apalah, masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Ini yang terbaik buat Sakinah. Tak adalah, pagi-pagi dah keluar bawa Sakinah naik kereta. Perjalanan dari rumah lama ke rumah BS mengambil masa 30 minit. Nanti Sakinah membesar atas jalan je.

Sekarang, rumah BS sebelah je. Lupa saya nak beritahu, BS yang jaga Sakinah tu, mak saudara suami saya. Jadi, dah duduk dekat-dekat ni, faham-fahamlah ye. Sakinah menjerit pun, beliau boleh dengar. Haha! Tapi yang penting, banyak senangnya, insyaAllah...
Itu je.

Ada nak cerita tentang perkembangan Sakinah. Tapi, nantilah ye. Saya buat satu entri tentang Sakinah je...

Friday, 18 February 2011

Selamat Jalan...

Tempoh berpantang hampir tamat. Lusa adalah hari terakhir, lega rasanya. Walaupun sebenarnya saya tidaklah berpantang secara betul-betul. Tapi, rasanya saat ini memanglah ditunggu-tunggu. Baru 44 hari. Yang pantang sampai hari ke-100 tu, insyaAllah akan cuba dilaksanakan. Selagi terdaya. Hehe...

Saya rasa. saya cuma berpantang betul-betul 3 minggu pertama je. 3 minggu seterusnya, dah mula culas sana sini. Apatah lagi bila dah mula rasa badan tu dah sihat sikit. Jahitan kat bawah pun dah ok, tu yang mula enjoy sekejap. Hehe. Enjoy-enjoy pun, ada gak pantang-larang yang saya rasa kalau saya tak ikut, memudaratkan diri, tetap saya ikut.

Saya tetap berbengkung, walaupun keluar berjalan-jalan. Yelah, perut masih terasa bergoyang-goyang kan. Saya tetap berstokin, walaupun keluar rumah. Tapi masa dalam kereta jelah. Bila dah sampai tempat yang dituju, saya tinggal stokin dalam kereta. Seganlah pulak, nanti orang nampak saya masih dalam pantang. Pastu sibuk pulak berjalan-jalan. Dan yang penting, saya tak minum AIS! Saya tak nak menanggung akibatnya kemudian hari. Walaupun kadang-kadang teringin juga. Tapi kena kawal diri sendiri.

Part makan, memang 3 minggu yang terakhir saya dah mula belasah je apa yang ada. Maknanya dah tak makan lauk orang berpantanglah. Tapi tetap control. Jauhi makanan dan minuman yang menyebabkan angin, dan yang pedas-pedas pun tidak. Itu semua untuk Sakinah. Yelah, saya masih beri susu badan, jadi part makan, tak boleh suka-suka sangat. Nanti effect kat anak, kesian...

Saya balik rumah masa hari ke-2. Hari ke-3 sampai ke-5 dah start mengurut. Walaupun ada orang kata upah mengurut ni mahal sekarang, saya tetap buat 3 kali. Saya tak nak culas. Sebab akibatnya kemudian hari nanti, saya juga yang tanggung. Teringat kakak sepupu saya yang langsung tak berurut selepas bersalin. Kesannya, umur masih muda, badan dah sakit-sakit. Bagi saya, mana pesan orang dulu-dulu, yang sememangnya untuk kebaikan, dan tidak merepek-repek, saya ikut. Walaupun bayarannya mahal. Untuk diri sendiri juga kan.

Cerita pasal berurut, lepas sebulan pun saya pergi berurut lagi. Memang makcik yang urutkan saya pesan, kena urut lagi lepas sebulan. Sambil check apa yang patut. Tapi, saya ingat nak berurut lepas pantang je. Masa pegi check up sebulan di KK, nurse yang check cakap, rahim saya belum kecut lagi. Sebab dia tekan-tekan perut, saya rasa sakit. Tak terkejut? Risau sangat! Jadi Mama suruh saya berurut lagi. Taknak benda-benda buruk jadi. Yelah, takkan nak beranak sekali je kan...

Tapi, sebenarnya antara percaya dengan tidak je cakap nurse tu. Yang check saya tu nurse praktikal, sambil dipantau lecturer dia. Kiranya yang check saya tu lecturer dia yang merupakan bidan. Percaya sebab dia lebih berpengalaman. Tak percaya sebab, masa nurse datang rumah hari ke-4, nurse cakap dah ok. Rahim dah duduk tempat asalnya. Dan memang tak ada apa-apa masalah. Lagipun saya dah berurut kan.

Jadi, makcik urut tu datang ari Selasa lepas. Dia pun risau juga jadi apa-apa kat saya. Bila dia check, bukan rahim tak kecut. Tapi urat keras lagi kat perut bahagian kiri. Dia dah urut, dah oklah. Sakit, memanglah. Yang penting, dah kembali ok. Buat suspen je nurse tu.

Tapi, salah saya juga. Walaupun rajin berbengkung, tapi saya culas bertungku. Bertungku 3 minggu awal tu je. Itupun ada jugak skipnya. Lepas tu tungku besi ada, tungku elektrik juga yang saya guna. Kononnya nak senanglah. Tapi, tak sama ye! Kalau untuk bertungku lepas bersalin, janganlah gunakan tungku elektrik. Sila guna tungku batu atau tungku besi yang dipanaskan atas api. Pastu bungkus dengan daun mengkudu. Kalau pemalas macam saya ni, rasakanlah akibatnya nanti.

Minggu depan akan start duduk rumah sendiri. Rindu sangat nak balik rumah sendiri. Lepas tu insyaAllah akan mula buat stok susu. Esok nak pegi beli makanan yang boleh bagi tambah susu ni. Nanti ada masa, saya akan ceritakan pula tentang pengalaman saya BF Sakinah. Masih jauh lagi perjalanan ni...

Monday, 14 February 2011

2 Tahun = Dari 2 Menjadi 3

Selamat Ulangtahun Percintaan Yang Ke-2 buat Suami Tercinta.

Semoga cinta kita kekal dengan diiringi keimanan.

Ameen...

*
*
*
*
*

Dari 2, menjadi 3

~ Alhamdulillah ~

Friday, 4 February 2011

Menjadi Ibu, Tidak Semudah Yang Disangka

Setiap wanita, dilahirkan dengan naluri keibuaan. Sebab itu, selepas sahaja bernikah, perkara seterusnya yang difikirkan adalah untuk menjadi ibu. Lagi seronok bila melihat orang sekeliling sibuk mengelek anak kecil. Menjadikan keinginan itu membuak-buak. Betul kan?

Untuk menjadi ibu, memang mudah. Tapi untuk menjadi ibu yang terbaik, tidak semudah yang disangkakan. Sedangkan untuk menjadi ibu, kita menghadapi cabaran untuk mengandung selama 9 bulan, yang mana tempoh itu bukanlah satu tempoh yang singkat, dengan pelbagai ragam dan karenah badan yang berubah-ubah. Seterusnya cabaran untuk melahirkan khalifah Allah, juga cabaran yang bukan calang-calangnya. Namun, sekali melangkah, tak mungkin akan ada kata mengalah. Walau susah, walau payah, semuanya harus ditempuhi juga. Untuk satu gelaran yang tiada nilainya = IBU.

Saya sendiri, pada awal selepas kelahiran Sakinah, tertekan dengan keadaan terpaksa berjaga malam. Kemudian, bila Sakinah menangis, susu telah diberi pun, masih juga dia menangis. Memang tak tahu nak buat apa. Sampai akhirnya, saya sendiri yang menangis. Haha! Tapi, hampir sebulan usia Sakinah, saya semakin membiasakan diri dengan keadaan ini. Saya tahu, inilah pengorbanan yang terpaksa saya lalui. Dan jangan lupa, inilah juga yang dilalui oleh Mama dulu, sewaktu kelahiran saya.

Sebagai ibu, kita pastinya mahu memberikan yang terbaik buat anak kita. Dari segi pemakanan, pakaian, tempat tinggal, dan pastinya kesihatan. Apa sahaja yang dilakukan, demi anak. Sampai kadang-kadang, keperluan sendiri pun terabai. Tak apa, yang penting anak dapat yang terbaik. Betul kan?

Jadi, selagi kita punya ibu, hargailah mereka. Jasa mereka tak ternilaikan dengan wang ringgit. Luangkanlah masa bersama mereka. Berikanlah apa yang menggembirakan mereka, walaupun mungkin, kita kurang gembira. Hati ibu lebih penting kan...

Tuesday, 1 February 2011

9 Bulan Yang Membahagiakan. Alhamdulillah...

Sedar tak sedar, dah 9 bulan usia perkahwinan kami. Dalam tempoh ini, kami telah dianugerahkan dengan hadiah yang tidak ternilai iaitu Annaurah Sakinah. Seminggu lagi, genap sebulan usia Sakinah.

Alhamdulillah, syukur... DIA mempermudahkan rezeki bagi kami. Disahkan hamil, beberapa minggu selepas bernikah. Kata orang 'bunting pelamin'. Haha! Kelakar rasa nak sebut. Dan Sakinah pula, keluar awal 2 minggu dari jangkaan bersalin. Yang penting, semuanya selamat.

3 bulan je lagi, genap setahun usia perkahwinan. Merancang sesuatu yang istimewa untuk tahun pertama ini. Apatah lagi, kami belum pun sempat nak berbulan madu. Tapi kali ni, kalau berbulan madu pun, bersama-sama Sakinah la... Takkan nak tinggalkan pula...

Doa saya buat kami sekeluarga agar sentiasa dimurahkan rezeki, diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi sebarang dugaan, serta yang paling penting diberi kebahagiaan dan keimanan sentiasa mengiringi kami sekeluarga. Ameen...

Thursday, 27 January 2011

Kehidupan Baru Yang Penuh Bermakna

Lama nak menulis, tak bermakna terus melupakan blog. Hari-hari pun buka, cuma idea untuk menulis yang tiada. Lagi pula sejak bertukar status ni, keutamaan tentulah diberi pada si kecil tu...

Masuk hari ke-20, masih lagi sedang menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Ini pun belum betul-betul absorb kehidupan sebenar. Semuanya bermula lepas masuk kerja nanti. Risau ada, takut pun ada. Tapi yang pasti, rindu pasti lagi banyak! Mmm...

Tak sabar nak tunggu habis pantang. Sebab sekarang ni dah rasa sangat boring, tak dapat nak keluar jalan-jalan. Ikutkan hati, nak je keluar, sebab rasanya dah agak sihat dah. Tapi, nantilah tunggu Sakinah dah sebulan. Masa tu pun memang kena keluar pergi klinik untuk suntikan bulan pertama Sakinah. Lepas tu, plan untuk balik Melaka. Oh, rindu rumah sendiri!

Yang pastinya, kehidupan kami suami isteri bertambah indah dengan kehadiran Sakinah. Walaupun penat, sebab kena bangun malam. Tapi, bahagia sebab dapat merasa nikmat menjadi ibu bapa. Alhamdulillah...

Saturday, 1 January 2011

Dari MMX Ke MMXI

Pada saya, 2010 berakhir dengan cemerlang sekali. Syukur Alhamdulillah...

Yang pertama tentulah, selamat menjadi isteri kepada suami tercinta...

Semuanya catatan boleh dilihat di Jurnal 2 Hati dan Raikan Cinta.

Kemudian, diberi berita gembira ini...

Semua cerita di Catatan Isteri dan Nota Anak.

Yang ketiga, dapat pula berita pertukaran untuk berada di sisi Suami. Cerita di sini.

Harapan untuk tahun ini, moga saya diberi kekuatan untuk menjadi Ibu yang baik buat anak yang sedang lasak kat dalam ni. Juga diberi kesabaran untuk menjadi Isteri yang solehah buat Suami tercinta. Dan tentulah menjadi anak yang baik buat Mama dan Ayah, juga menantu yang sempurna buat Mak dan Abah Mertua.

Semoga dimurahkan rezeki buat kami sekeluarga, dan kebahagiaan sentiasa mengiringi kehidupan kami. Ameen...

Friday, 24 December 2010

Kurang Sebulan Je Lagi... Oh, oh...

Macam tak percaya je... Kurang sebulan je lagi dari tarikh EDD. Itupun kalau betul-betul ikut EDD. Ini pun dah mula rasa lain macam je. Sekarang ni dalam tempoh bersedia jelah... Orang kata menunggu hari.

Suhu badan pun selalu tak menentu. Kadang-kadang boleh naik mendadak macam orang demam. Tak lama lepas tu, turun balik. Yang best tu, Suami yang perasan suhu badan naik. Saya tak sedar pun. Bab makan, memang dah tak boleh lapar, walaupun sekejap. Kalau saya buat tak tau je, tak lama nanti, angin dah penuh dalam perut.

Tidur malam pun, dah agak susah sket. Tak tau posisi yang terbaik untuk saya tidur. Bb kat dalam ni pun dah kerap mengeras. Pinggang sakit, usah cakaplah. Kadang-kadang, tengah tidur, kalau kaki kejang tu, memang dah jadi perkara biasa. Badan rasa panas, tapi tidur berselimut jugak, sebab tak nak kejang kaki kan.

Walau apapun, saya anggap semua itu nikmat untuk menjadi seorang ibu. Bukan semua orang dapat rasa kan. Apapun saya bersyukur, punya Suami yang memahami. Kadang tak larat untuk bangun pagi sebab tak cukup tidur. Beliaulah yang gigih bangunkan isteri ni, gagah turun naik tangga rumah, siapkan breakfast. Oh, syukur!

Semoga saya diberi kesihatan yang baik, sepanjang menanti kelahiran si comel ini. Sungguh, kami suami isteri tak sabar mahu gomol si kecil ini...

Tuesday, 9 November 2010

Cuba..

Sebab malam ni lambat sket rasa ngantuk. Pastu pulak, anak kat dalam ni buat macam2 aksi, sampaikan berombak2 peruf ibu dia. Maka terlahirlah entri ini, sambil ditemani 'ngorokan' seseorang kat sebelah ni. Saja cuba buat entri guna hanset Suami (ke hanset saya ni?). Oklah, cuma slow. InsyaAllah, esok pagi saya akan cerita apa yang berlaku minggu lepas, dan awal minggu ni. Kalau saya free yer.. Ok, selamat malam dan assalamualaikum.
Published with Blogger-droid v1.6.3

Monday, 1 November 2010

6 bulan...

Pejam celik, pejam celik je rasanya. Dah 6 bulan usia perkahwinan. Baru je lagi... Macam-macam dah dilalui bersama-sama. 3 bulan hidup sebagai weekend husband & wife, dan 3 bulan lagi hidup sebagai suami isteri yang sebenar. Hehe! Bila dapat dok sama, barulah panggil suami isteri sebenar kan...

Usia perkenalan selama setahun lebih, tidak sama dengan usia perkahwinan selama 6 bulan. Bila dah dok bersama, semua benda pun dibuat bersama. Baru tahu perangai comel & comot masing-masing. Kalau tak suka pun, redha jelah. Nak ke, tak nak ke, kenalah telan. Ala, kita pun bukan sempurna sangat, kalau mahukan yang sempurna dari dia kan. Asalkan masing-masing berusaha untuk memperbaiki diri, insyaAllah, bertambah baiklah hubungan itu.

3 bulan je lagi, kami akan bertukar status. Dulu, dari kawan menjadi kekasih. Dari kekasih menjadi tunang. Dari tunang menjadi suami-isteri. InsyaAllah, dari suami-isteri menjadi ibu-babah. Semoga semuanya dipermudahkan-Nya.

Memang pada awal usia perkahwinan, lagi-lagi masa mula-mula tinggal bersama, banyak yang perlu disesuaikan. Banyak juga nak kena ubah. Alhamdulillah, semakin lama, semakin ok, dan DIA beri rezeki buat kami sekeluarga. Rezeki bb agaknya kan.

Saya cuma mengharapkan kebahagiaan dan kesejahteraan buat kami sekeluarga. Semua kami sentiasa berada dalam keimanan. Ameen...