:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Friday, 25 February 2011

Kena Kuat Semangat

Sedang berusaha memberikan yang terbaik buat anak tercinta. Niat yang baik, pasti ada ujiannya. Semoga semangat saya terus kental untuk fully BF Sakinah!

Memang cabarannya besar. Lagi-lagi bila tengok hasil yang kurang memberangsangkan. Tapi saya tak boleh mudah putus asa. Kesian Sakinah nanti. Saya tau saya kena berkorban sikit.

Sedang survey breast pump yang elok sikit. Mana tau, dapat meningkatkan hasilnya nanti. Takpelah mahal sikit. Kalau dibandingkan dengan bagi FM, lagi mahal bagi FM.

Bila baca pengalaman ibu-ibu yang fully BF anak masing-masing, rasa bersemangat semula. Kalau mereka boleh, takkan saya tak boleh kan? Doakan saya ye...
Published with Blogger-droid v1.6.7

Saturday, 19 February 2011

Frust Menonggeng La...

Sedap sangat dia tidur macam ni. Kelakar la Sakinah ni...

Friday, 18 February 2011

Selamat Jalan...

Tempoh berpantang hampir tamat. Lusa adalah hari terakhir, lega rasanya. Walaupun sebenarnya saya tidaklah berpantang secara betul-betul. Tapi, rasanya saat ini memanglah ditunggu-tunggu. Baru 44 hari. Yang pantang sampai hari ke-100 tu, insyaAllah akan cuba dilaksanakan. Selagi terdaya. Hehe...

Saya rasa. saya cuma berpantang betul-betul 3 minggu pertama je. 3 minggu seterusnya, dah mula culas sana sini. Apatah lagi bila dah mula rasa badan tu dah sihat sikit. Jahitan kat bawah pun dah ok, tu yang mula enjoy sekejap. Hehe. Enjoy-enjoy pun, ada gak pantang-larang yang saya rasa kalau saya tak ikut, memudaratkan diri, tetap saya ikut.

Saya tetap berbengkung, walaupun keluar berjalan-jalan. Yelah, perut masih terasa bergoyang-goyang kan. Saya tetap berstokin, walaupun keluar rumah. Tapi masa dalam kereta jelah. Bila dah sampai tempat yang dituju, saya tinggal stokin dalam kereta. Seganlah pulak, nanti orang nampak saya masih dalam pantang. Pastu sibuk pulak berjalan-jalan. Dan yang penting, saya tak minum AIS! Saya tak nak menanggung akibatnya kemudian hari. Walaupun kadang-kadang teringin juga. Tapi kena kawal diri sendiri.

Part makan, memang 3 minggu yang terakhir saya dah mula belasah je apa yang ada. Maknanya dah tak makan lauk orang berpantanglah. Tapi tetap control. Jauhi makanan dan minuman yang menyebabkan angin, dan yang pedas-pedas pun tidak. Itu semua untuk Sakinah. Yelah, saya masih beri susu badan, jadi part makan, tak boleh suka-suka sangat. Nanti effect kat anak, kesian...

Saya balik rumah masa hari ke-2. Hari ke-3 sampai ke-5 dah start mengurut. Walaupun ada orang kata upah mengurut ni mahal sekarang, saya tetap buat 3 kali. Saya tak nak culas. Sebab akibatnya kemudian hari nanti, saya juga yang tanggung. Teringat kakak sepupu saya yang langsung tak berurut selepas bersalin. Kesannya, umur masih muda, badan dah sakit-sakit. Bagi saya, mana pesan orang dulu-dulu, yang sememangnya untuk kebaikan, dan tidak merepek-repek, saya ikut. Walaupun bayarannya mahal. Untuk diri sendiri juga kan.

Cerita pasal berurut, lepas sebulan pun saya pergi berurut lagi. Memang makcik yang urutkan saya pesan, kena urut lagi lepas sebulan. Sambil check apa yang patut. Tapi, saya ingat nak berurut lepas pantang je. Masa pegi check up sebulan di KK, nurse yang check cakap, rahim saya belum kecut lagi. Sebab dia tekan-tekan perut, saya rasa sakit. Tak terkejut? Risau sangat! Jadi Mama suruh saya berurut lagi. Taknak benda-benda buruk jadi. Yelah, takkan nak beranak sekali je kan...

Tapi, sebenarnya antara percaya dengan tidak je cakap nurse tu. Yang check saya tu nurse praktikal, sambil dipantau lecturer dia. Kiranya yang check saya tu lecturer dia yang merupakan bidan. Percaya sebab dia lebih berpengalaman. Tak percaya sebab, masa nurse datang rumah hari ke-4, nurse cakap dah ok. Rahim dah duduk tempat asalnya. Dan memang tak ada apa-apa masalah. Lagipun saya dah berurut kan.

Jadi, makcik urut tu datang ari Selasa lepas. Dia pun risau juga jadi apa-apa kat saya. Bila dia check, bukan rahim tak kecut. Tapi urat keras lagi kat perut bahagian kiri. Dia dah urut, dah oklah. Sakit, memanglah. Yang penting, dah kembali ok. Buat suspen je nurse tu.

Tapi, salah saya juga. Walaupun rajin berbengkung, tapi saya culas bertungku. Bertungku 3 minggu awal tu je. Itupun ada jugak skipnya. Lepas tu tungku besi ada, tungku elektrik juga yang saya guna. Kononnya nak senanglah. Tapi, tak sama ye! Kalau untuk bertungku lepas bersalin, janganlah gunakan tungku elektrik. Sila guna tungku batu atau tungku besi yang dipanaskan atas api. Pastu bungkus dengan daun mengkudu. Kalau pemalas macam saya ni, rasakanlah akibatnya nanti.

Minggu depan akan start duduk rumah sendiri. Rindu sangat nak balik rumah sendiri. Lepas tu insyaAllah akan mula buat stok susu. Esok nak pegi beli makanan yang boleh bagi tambah susu ni. Nanti ada masa, saya akan ceritakan pula tentang pengalaman saya BF Sakinah. Masih jauh lagi perjalanan ni...

Bersahabat Tanpa Cinta

Kalau seorang wanita berkawan rapat dengan seorang lelaki, pasti orang sekeliling akan menganggap yang mereka punya hubungan yang istimewa. Jarang sekali kita fikir yang mungkin mereka berdua bersahabat baik. Pernah tak jumpa seorang wanita yang sudah punya teman istimewa, tapi tetap punya sahabat baik berlainan jantina. Dan yang istimewanya, sahabat lelakinya juga sudah punya teman istimewa. Agak-agak, boleh teman istimewa mereka berdua menerima hubungan sahabat baik tersebut.

Selama hampir 30 tahun mendiam di muka bumi Allah ini, saya akui, sahabat baik saya bukan sahaja terdiri dari sahabat sejantina. Dan kadang-kadang saya rasa sahabat lelaki saya lebih memahami jika dipersoalkan tentang cinta, terutamanya tentang kaum sejenis mereka. Tapi, bukan semua rahsia boleh dikongsi bersama kan.

Sepanjang bersahabat, tak pernah pula terlintas tentang cinta antara kami berdua. Walaupun mungkin orang sekeliling menganggap sebaliknya. Mungkin pernah cuba, tapi bagi saya, kalau ia dimulai dengan persahabatan, biarlah ia kekal atas nama persahabatan juga. InsyaAllah, hubungan itu tiada dendam di hati.

Berbanding jika kita bersahabat, kemudian bercinta, dan akhirnya berputusan. Adakah ia akan kembali kepada status sahabat seperti awalnya? Mungkin boleh. Tapi, bolehkah dibuang luka-luka lama itu, apatah lagi kalau puncanya adalah kecurangan. Oh, tidak sama sekali! Rasanya kalau bertemu pun, mungkin akan menyakitkan hati. Jadi akhirnya hubungan itu, tiada lagi...

Jika berbicara dari perspektif saya sebagai seorang wanita, saya suka seandainya seorang lelaki dapat membezakan antara sahabat dan cinta. Maknanya, layanan terhadap sahabat lain, layanan terhadap kekasih hati, tentulah lain dan lebih istimewa. Jadi, dia tidak akan menyebabkan wanita yang menjadi sahabatnya, menaruh cinta dan harapan terhadapnya. Berbanding dengan seorang lelaki yang melayan semua wanita sama sahaja, termasuk cinta hatinya. Kemudian tanpa sedar telah memberikan harapan kepada ramai wanita terhadapnya. Bila wanita itu kecewa, mengatakan itu bukan salahnya. Sebaliknya wanita itu yang perasan sendiri. Oh, bijaknya kamu! Padahal kamu yang memulakan segalanya.

Benarlah kata pepatah, 'berkawan biar beribu, berkasih biar satu'. Jangan mudah menabur janji, andai tak mampu untuk ditepati.

Monday, 14 February 2011

Hasil Pertama

Inilah hasil pertama perahan susu tadi. Hampir 2oz, dalam masa 30 minit. Seronok tengok susu memancut-mancut keluar. Walaupun saya tahu, ramai boleh dapat lebih dari ini. Tapi, saya tetap berbangga dengan ini.

Saya rasa, kalau tak sebab puting yang sebelah kiri ni melecet, mesti saya tak start nak pam susu lagi. Walaupun berniat untuk bagi Sakinah fully BF untuk sekurang-kurangnya 6 bulan. Tapi masih tak mula menyimpan stok. Ingatkan bila dah mula duduk rumah sendiri. Senang nak simpan. Sebab peti ais rumah sendiri memang kosong pun.

Hari ni memang saya bagi Sakinah menyusu sebelah kanan je. Sebab tak mampu nak tahan sakit, kalau Sakinah menyusu dari sebelah kiri. Jadi, bila susu langsung tak keluar dari sebelah kiri, mulalah membengkak, dan tentulah sakit. Jadi kenalah pam. Alhamdulillah, hasil memberangsangkan walaupun gunakan breast pump yang tidak lah canggih sangat. Pureen Battery Operated Breast Pump.

Cabaran yang pertama ni saya rasa ialah bila tengah syok-syok pam, Sakinah bangun pulak. Dan bila dia bangun, tentulah kena bagi susu kan. Jadi, saya bagi dia hisap dari sebelah kanan, dan saya teruskan pam dari sebelah kiri. Saya perasan, masa nilah susu keluar banyak sangat.

Selain dari sebab puting melecet, tujuan pam susu pada hari ini adalah untuk ajar Sakinah minum menggunakan botol. Yelah, tak lama je lagi saya dah nak mula kerja. Lepas tu mestilah kena hantar kat orang. Kalau dia tak nak minum guna botol, takkan saya nak ulang-alik dari ofis. Kalau dekat tak apa juga. Ini ambil masa setengah jam perjalanan.

Dan Alhamdulillah, Sakinah mahu minum guna botol. Sebenarnya sebelum ni dah ajar dia guna botol untuk minum air kosong. Mula-mula payah juga, sebab dia memang menolak. Lama-lama baru ok. Bila masukkan susu tentulah dia lagi suka kan.

~ Sakinah buat muka puas hati, sebab dapat minum secara banyak. Haha! ~

2 Tahun = Dari 2 Menjadi 3

Selamat Ulangtahun Percintaan Yang Ke-2 buat Suami Tercinta.

Semoga cinta kita kekal dengan diiringi keimanan.

Ameen...

*
*
*
*
*

Dari 2, menjadi 3

~ Alhamdulillah ~

Saturday, 12 February 2011

Rindukan Saat Itu

Bila terbaca blog-blog ibu mengandung, teringat pula saat itu. Saat yang tersangat indah itu. Masih terasa-rasa lagi saat Sakinah masih di dalam rahim ini, aktif menendang-nendang sampai terbonjol-bonjol perut Ibu dia ni. Oh, rindukan saat itu!

Masa mula-mula lepas bersalin tu, macam tak percaya, Bb yang kat dalam perut ni dah keluar. Sampaikan kadang-kadang masih terasa Bb mengeras. Tapi, bila tengok Sakinah kat sebelah, baru tersedar diri. Haha! Kelakar kan?

Sekarang bila terbaca blog-blog ibu mengandung yang sedang menunggu hari, teringat balik masa suspen menunggu masa Sakinah nak keluar. Teringat-ingat lagi kesakitannya. Terasa-rasa lagi debarannya. Dan yang penting, segala kesakitan itu, digantikan dengan kelahiran Annaurah Sakinah. Alhamdulillah...

Buat ibu-ibu yang sedang menanti hari tu, semoga diberi kekuatan untuk menghadapi saat-saat getir itu. Ingat, pengorbanan kesakitan itu akan digantikan dengan anugerah Allah yang tiada nilainya. Selamat Menjadi Ibu!


~ masa hujung pregnancy. sangat bam bam! ~



 ~ masa mengandung tak pernah nak share gambar ni kan... ~

Wednesday, 9 February 2011

Sudah Sebulan

~ sakinah melalak sebab nak keluarkan tangan dari bedung. tengok, dah berjaya keluarkan satu ~

Alhamdulillah, semalam genap sebulan usia Sakinah. Macam biasalah, ada check up dan suntikan sekali.

Untuk kali pertama ni, kami check up di KK Bangi. Tumpang satu hari je. Kenapa saya cakap kami? Sebab yang check up bukan Sakinah seorang. Tapi Bubu juga. Check up untuk post-natal.

Sebab ingatkan sekejap je, kami pergi lambat-lambat. Dalam pukul 9.30 pagi, baru sampai. Sampai sana, Sakinah tidur, sebab baru je isi perut dia.

Bila sampai turn, nak timbang berat, kena bogelkan Sakinah. Sakinah memang tak tahan sejuk. Kalau sejuk, dia akan menjerit sekuat hati, dan menangis sungguh-sungguh.

Nasib baik datang dengan Suami. Lepas selesai timbang berat, ukur tinggi dan ukur lilit kepala Sakinah, turn Bubu pula kena check. Check sama macam masa mengandung. Timbang berat, tekanan darah, air kencing dan juga darah. Sakinah pula masih melalak, sebab tengah tidur kena kacau. Tak senang hati Bubu. Laju-laju buat tu semua, terus bagi Sakinah susu.

Yang buat check up tu student praktikal. Sakinah ok je, walaupun berat naik sikit je. Masa lahir 2.16 kg. Lepas seminggu dah 2.4 kg. Sebulan baru 2.43 kg. Yang penting Sakinah sihat.

Masa kena cucuk, saya tak bersama. Babah yang bawa Sakinah, sebab saya pun kena check juga kan. Suami cakap, Sakinah menjerit bersungguh-sungguh. Tapi sekejap je, lepas tu terus tidur. Mengantuk sangatlah tu.

Sepanjang dia tidur semalam, terkejut-kejut je. Kaki yang kena cucuk tu pun terangkat-angkat je. Dari petang sampai ke malam, dia meragam je. Sakitlah tu agaknya. Alhamdulillah, hari ni dah ok dah.

Lepas ni sambung buat check up di Melaka pula. Bulan depan la...
Published with Blogger-droid v1.6.7

Tuesday, 8 February 2011

Perkembangan Bayi - Sebulan

Perkembangan Tubuh Badan
Sejak lahir, bayi akan sentiasa berada dalam kedudukan mengerekot. Rangka kepalanya sangat lembut(otot leher masih tidak kuat untuk menyokong kepalanya). Kakinya lebih cenderung dalam posisi membengkok dan hanya berupaya untuk mengangkat sedikit kepalanya untuk menoleh ke arah kiri dan kanan.

Kemahiran Belajar
Dapat mengenali wajah anda jika anda merapatkan muka ke arah bayi kurang daripada 12 inci (30cm). Apabila bayi berusia sebulan, dia dapat mengajuk mimik muka anda.

Kemahiran Bertutur
Bayi anda akan menangis sebaik saja dia dilahirkan. Pada peringkat permulaan, bayi anda hanya tahu menangis sahaja, lambat laun dia akan pandai mengagah sebagai tanda dia berasa seronok dan gembira.

Kemahiran Sosial
Beberapa minggu pertama, tidak berupaya bertindakbalas pada dunia luar.

Sumber : Parent's Guide to a Child's Development Milestones- Anmum

Monday, 7 February 2011

Berjalan Jauh

Dah dua hari berturut-turut kami bawa Sakinah berjalan-jalan, hari Sabtu lepas kami bawa dia berjalan jauh pula. Ke mana? Pulang ke kampung di Perak. Sebab ada kenduri kahwin Cik Imah Sakinah tu. Famili saya dah gerak awal, bermalam 2 malam di sana. Yelah, kenduri di kampung, macam-macam nak kena tolong.

Ikutkan hati saya ni, nak juga join. Lagi pula Imah tu antara sepupu saya yang rapat. Tapi, sebab teringat diri dah jadi mak orang, lagi pula Sakinah masih sangat kecil, tak berani nak bawa dia bermalam di tempat orang. Dah ramai-ramai macam tu, tau-tau jelah keadaan rumah tu macam mana. Dengan macam-macam orang lagi kan. Jadi, saya buat keputusan untuk pergi masa hari majlis je. Walaupun terkilan sikit sebab tak dapat nak tengok Imah menikah, tapi nak buat macam mana. Demi anak, kenalah berkorban kan...

Sepanjang perjalanan yang panjang, Sakinah banyak tidur. Kalau bangun pun cuma nak menyusu je. Sedap agaknya sebab sejuk. Walaupun jalan beralun-alun, dia tetap relaks je. Alhamdulillah. Risau juga kalau-kalau dia meragam.

Sampai di kampung, Sakinah dikerumun ramai orang. Yelah, saudara-mara yang mana tak jumpa dia lagi tu, nak menengok dia la. Walaupun dia celik mata, tapi dia tak merengek. Kalau merengek pun dia nak menyusu jelah. Tapi, masalah pula. Sebab biasanya lepas je kenyang menyusu, Sakinah akan mudah tidur. Tapi, Sakinah tak boleh tidur. Mungkin panas dan bising. Kenduri kan...

Bila duduk bawah kipas, ingatkan nak tidur. Tak mahu juga. Bawa berjalan-jalan, senyaplah sekejap. Tapi sekejap jelah. Dia dah mengantuk sangat. Tapi tak dapat nak tidur. Tu yang meragam je tu. Dah abis majlis, baru dia boleh tidur. Itupun Babah bawa Sakinah keluar. Dah senyap, tak ada lagu-lagu, lepas tu berangin pula. Barulah dapat tidur.

Masa sepanjang perjalanan balik pun, Sakinah tidur je. Penat sangat kot.

Hari Ahad, semalam la, bawa Sakinah balik Melaka. Ini pun plan last minute. Sebab sebenarnya nak balik Melaka lepas Sakinah cucuk sebulan. Tapi sebab ada kenduri sepupu Suami, tu yang turun juga tu. Dah ke Perak untuk kenduri sepupu saya, takkan kenduri sepupu Suami di Melaka tak pergi pula kan.

Macam semalam, sepanjang perjalanan Sakinah tidur je. Sampai di majlis, juga dikerumun ramai orang. Saudara-mara sebelah Melaka, lagi ramai yang belum tengok Sakinah. Dah kena kerumun, Sakinah memanglah tak tidur. Bila tak dapat tidur, asyiklah dia nak bergayut mengempeng dekat Bubu dia.

Memang kami dah agak dah, dia mesti tak boleh tidur, macam hari sebelumnya. Tapi ini lagi lama dia berjaga mata. Kesian sangat! Dah pukul 4, ajak Suami balik cepat-cepat. Sebab kesian dekat Sakinah, lama sangat berjaga, tak tidur-tidur.

Masa dalam kereta, memanglah dia tidur. Tapi sebab perjalanan dekat je, cuma balik ke rumah Nenek Sakinah, jadi dia belum sempat lena, dah terjaga balik. Sampai rumah pun, panas juga, tak dapat tidur. Dekat-dekat Maghrib baru dia dapat tidur. Tu pun lepas mandikan dia, lepas tu tidurkan dalam aircond.

Sebenarnya tak nak ajar Sakinah tidur dalam aircond, sebab kat rumah kami memanglah tak ada aircond. Tapi, dah panas sangat, lepas tu kesian kat dia tak dapat nak tidur, letak jugalah. Itupun sekejap jelah.

Ni pun kami belum bawa Sakinah balik tidur di rumah sendiri. Harap-harap Sakinah ok je, sebab biasa budak kecil kalau beralih tempat, banyak meragam kan. Ini pun dah 2 hari dia kurang tidur, banyak sangat berjalan kot...

Sunday, 6 February 2011

Apabila Menjadi Tumpuan Orang

Sepanjang cuti yang panjang ini, kami suami isteri sibuk membawa Sakinah berjalan-jalan. Macam-macam tempat kami bawa dengan tujuan membiasakan Sakinah dengan bermacam-macam keadaan. Tapi sebenarnya tujuan utama, Bubu Sakinah dah boring asyik terperap je kat rumah, hampir sebulan ni. Jadi, gunalah alasan anak. Haha!

Hari Khamis, kami bawa Sakinah ke Alamanda Putrajaya. Nak pergi beli hadiah untuk Cik Imah. Masuk je kereta, Sakinah minta perutnya diisi dulu. Jadi sampai je ke tujuan, memang Sakinah tidur jelah. Dah siap pilih-pilih hadiah, pegi bayar dan balut semua, Sakinah dah bagi tanda mahu berbunyi. Laju-laju kami gerak ke parking, sebelum dia menjerit.

Yang menariknya, memang sepanjang kami berjalan, semua orang pandang. Masa otw berlari ke parking, ada seorang pakcik tegur Suami, tanya umur Sakinah. Yelah, Sakinah kan kecil molek je. Lagi pula, Sakinah berbaring je kan. Nampak sangatlah masih dalam pantang.

Hari Jumaat, ajak Suami ke Kamdar Kajang. Tujuannya mahu membeli kain ela untuk Hari Raya nanti. Semangat anak, kami pula yang tak sabar. Haha! Sebaik-baik masuk ke kedai, yang ditegur bukannya kami, tapi Sakinah. Comel kan?

Lepas tu kami bergerak ke Jusco Cheras Selatan. Tujuannya mahu cari baju purple untuk Sakinah. Sempena majlis Cik Imah la. Sampai je ke tujuan, Sakinah merengek minta diisi. Jadi, merasalah kami masuk ke Baby's Room. Setengah jam jugalah di situ. Babah Sakinah sempatlah tidur..

Lepas tu, ingatkan Sakinah dah puas menyusu. Tengah berjalan-jalan, minta lagi. Malas saya nak duduk lama kat situ lagi, saya bagi je sambil berjalan tu. Nasib baik pakai baju yang senang nak selak. Lepas tu sorok Sakinah bawah tudung. Boleh je..

Memang sepanjang kami berjalan-jalan tu, banyak je mata yang pandang. Lagi pula kami pegang Sakinah dengan berbedung kan. Nampak sangat yang Sakinah masih sangat kecil.

Setakat ni rasanya oklah kalau nak bawa Sakinah berjalan-jalan lagi. Cuma tak laratlah nak kena pegang dia sepanjang jalan. Tu pun kami bergilir-gilir. Nak kena beli sesuatu untuk itu. Kami prefer untuk beli baby carrier ring sling, berbanding stroller. Lebih mesra pegguna rasanya. Masih sedang survey lagi.
Published with Blogger-droid v1.6.7

Friday, 4 February 2011

Tentang Nifas & Wiladah

Persoalan yang biasa timbul bagi ibu-ibu yang selesai bersalin ialah mengenai darah nifas dan wiladah. Apakah yang dimaksudkan dengan nifas dan wiladah, dan apakah yang perlu dilakukan setelah habis keluar kedua-dua darah tersebut?

Saya akan kongsikan mengenai kedua-dua darah ini, yang saya peroleh dari carian internet juga. Kalau saya sendiri musykil, pasti ada ibu-ibu lain yang musykil juga kan...

DARAH NIFAS

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid.

Tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik. Manakala tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas.

Namun begitu, adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi s.a.w. melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.

Seorang wanita, jika melihat darah bersalinnya berhenti 15 hari atau lebih, maka ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Darah yang keluar selepas itu dikira darah haid. Adapun jika kurang dari 15 hari, maka ia masih dianggap berada dalam nifas mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab.

Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita itu dianggap tidak bernifas.

Bagi wanita yang melahirkan anak kembar, nifasnya dikira selepas kelahiran bayi kedua. Adapun darah yang keluar selepas kelahiran bayi pertama ia tidak dianggap darah nifas, tetapi darah haid jika berbetulan dengan kebiasaan haidnya atau dikira darah fasad/illah jika tidak berbetulan dengan kebiasaan haidnya.

Bagi wanita yang keguguran, asalkan bidan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

Wanita yang menghadapi nifas hukumnya menyamai wanita yang haid. Oleh itu, dilarang/diharamkan ke atasnya perkara-perkara yang dilarang/diharamkan ke atas wanita yang kedatangan haid. Dan ia wajib mandi apabila kering darah nifasnya untuk membolehkannya melakukan solat, berjimak dengan suaminya dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang tidak harus ia lakukan melainkan setelah mandi wajib.

Para ulamak mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.

DARAH WILADAH

Tiada dalil mengenai mandi wiladah. Menurut fatwa Indonesia wiladah ialah wanita bersalin tanpa nifas dan Nifas ialah darah yg keluar sesudah kosongnya rahim wanita bersalin.

Hadith S.A.W hanya menyebut mandi sekali sahaja selepas keringnya darah nifas.

Mengenai mandi dua kali (mandi nifas dan mandi wiladah) datang dari fatwa mufti brunei. Tiada dalil disertakan mengapa perlunya mandi 2 kali.

Majoriti ulama menyatakan, mandi yang wajib bagi wanita sesudah bersalin ialah mandi nifas sahaja. Jika bersalin tanpa darah atau bersalin secara Caesar tanpa ada darah, maka tidak wajib mandi sebab illat mandi ialah adanya nifas (bila kering nifas, barulah mandi.

Tujuan mandi adalah utk membersihkan diri dan membolehkan kita bersolat. Selepas mandi nifas, boleh bersolat spt yg disebut dlm hadith. Jadi, apa keperluan mandi wiladah?

Tafsiran mandi wiladah dan nifas ini adalah khilaf pada tafsiran illat (sebab) mandi bagi wanita: samada kerana bersalin atau kerana darah nifas.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, darah yang keluar mengiringi wanita yang bersalin itu dipanggil darah wiladah.

Hukum mandi wiladah sejurus bersalin itu adalah sunat bagi orang yang mempunyai darah nifas.

Namun bagi sesetengah wanita, kelahiran bayi itu disambut dengan keluarnya darah wiladah dan tidak disertai dengan darah nifas. Maka, mandi tersebut adalah mandi yang wajib sebagaimana menyucikan diri daripada hadas besar selepas melahirkan.

Moga-moga apa yang saya kongsikan ini, dapat dimanfaatkan buat kita semua. InsyaAllah...

Menjadi Ibu, Tidak Semudah Yang Disangka

Setiap wanita, dilahirkan dengan naluri keibuaan. Sebab itu, selepas sahaja bernikah, perkara seterusnya yang difikirkan adalah untuk menjadi ibu. Lagi seronok bila melihat orang sekeliling sibuk mengelek anak kecil. Menjadikan keinginan itu membuak-buak. Betul kan?

Untuk menjadi ibu, memang mudah. Tapi untuk menjadi ibu yang terbaik, tidak semudah yang disangkakan. Sedangkan untuk menjadi ibu, kita menghadapi cabaran untuk mengandung selama 9 bulan, yang mana tempoh itu bukanlah satu tempoh yang singkat, dengan pelbagai ragam dan karenah badan yang berubah-ubah. Seterusnya cabaran untuk melahirkan khalifah Allah, juga cabaran yang bukan calang-calangnya. Namun, sekali melangkah, tak mungkin akan ada kata mengalah. Walau susah, walau payah, semuanya harus ditempuhi juga. Untuk satu gelaran yang tiada nilainya = IBU.

Saya sendiri, pada awal selepas kelahiran Sakinah, tertekan dengan keadaan terpaksa berjaga malam. Kemudian, bila Sakinah menangis, susu telah diberi pun, masih juga dia menangis. Memang tak tahu nak buat apa. Sampai akhirnya, saya sendiri yang menangis. Haha! Tapi, hampir sebulan usia Sakinah, saya semakin membiasakan diri dengan keadaan ini. Saya tahu, inilah pengorbanan yang terpaksa saya lalui. Dan jangan lupa, inilah juga yang dilalui oleh Mama dulu, sewaktu kelahiran saya.

Sebagai ibu, kita pastinya mahu memberikan yang terbaik buat anak kita. Dari segi pemakanan, pakaian, tempat tinggal, dan pastinya kesihatan. Apa sahaja yang dilakukan, demi anak. Sampai kadang-kadang, keperluan sendiri pun terabai. Tak apa, yang penting anak dapat yang terbaik. Betul kan?

Jadi, selagi kita punya ibu, hargailah mereka. Jasa mereka tak ternilaikan dengan wang ringgit. Luangkanlah masa bersama mereka. Berikanlah apa yang menggembirakan mereka, walaupun mungkin, kita kurang gembira. Hati ibu lebih penting kan...

Tuesday, 1 February 2011

9 Bulan Yang Membahagiakan. Alhamdulillah...

Sedar tak sedar, dah 9 bulan usia perkahwinan kami. Dalam tempoh ini, kami telah dianugerahkan dengan hadiah yang tidak ternilai iaitu Annaurah Sakinah. Seminggu lagi, genap sebulan usia Sakinah.

Alhamdulillah, syukur... DIA mempermudahkan rezeki bagi kami. Disahkan hamil, beberapa minggu selepas bernikah. Kata orang 'bunting pelamin'. Haha! Kelakar rasa nak sebut. Dan Sakinah pula, keluar awal 2 minggu dari jangkaan bersalin. Yang penting, semuanya selamat.

3 bulan je lagi, genap setahun usia perkahwinan. Merancang sesuatu yang istimewa untuk tahun pertama ini. Apatah lagi, kami belum pun sempat nak berbulan madu. Tapi kali ni, kalau berbulan madu pun, bersama-sama Sakinah la... Takkan nak tinggalkan pula...

Doa saya buat kami sekeluarga agar sentiasa dimurahkan rezeki, diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi sebarang dugaan, serta yang paling penting diberi kebahagiaan dan keimanan sentiasa mengiringi kami sekeluarga. Ameen...