:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Friday 4 February 2011

Tentang Nifas & Wiladah

Persoalan yang biasa timbul bagi ibu-ibu yang selesai bersalin ialah mengenai darah nifas dan wiladah. Apakah yang dimaksudkan dengan nifas dan wiladah, dan apakah yang perlu dilakukan setelah habis keluar kedua-dua darah tersebut?

Saya akan kongsikan mengenai kedua-dua darah ini, yang saya peroleh dari carian internet juga. Kalau saya sendiri musykil, pasti ada ibu-ibu lain yang musykil juga kan...

DARAH NIFAS

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid.

Tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik. Manakala tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas.

Namun begitu, adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi s.a.w. melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.

Seorang wanita, jika melihat darah bersalinnya berhenti 15 hari atau lebih, maka ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Darah yang keluar selepas itu dikira darah haid. Adapun jika kurang dari 15 hari, maka ia masih dianggap berada dalam nifas mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab.

Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita itu dianggap tidak bernifas.

Bagi wanita yang melahirkan anak kembar, nifasnya dikira selepas kelahiran bayi kedua. Adapun darah yang keluar selepas kelahiran bayi pertama ia tidak dianggap darah nifas, tetapi darah haid jika berbetulan dengan kebiasaan haidnya atau dikira darah fasad/illah jika tidak berbetulan dengan kebiasaan haidnya.

Bagi wanita yang keguguran, asalkan bidan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

Wanita yang menghadapi nifas hukumnya menyamai wanita yang haid. Oleh itu, dilarang/diharamkan ke atasnya perkara-perkara yang dilarang/diharamkan ke atas wanita yang kedatangan haid. Dan ia wajib mandi apabila kering darah nifasnya untuk membolehkannya melakukan solat, berjimak dengan suaminya dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang tidak harus ia lakukan melainkan setelah mandi wajib.

Para ulamak mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.

DARAH WILADAH

Tiada dalil mengenai mandi wiladah. Menurut fatwa Indonesia wiladah ialah wanita bersalin tanpa nifas dan Nifas ialah darah yg keluar sesudah kosongnya rahim wanita bersalin.

Hadith S.A.W hanya menyebut mandi sekali sahaja selepas keringnya darah nifas.

Mengenai mandi dua kali (mandi nifas dan mandi wiladah) datang dari fatwa mufti brunei. Tiada dalil disertakan mengapa perlunya mandi 2 kali.

Majoriti ulama menyatakan, mandi yang wajib bagi wanita sesudah bersalin ialah mandi nifas sahaja. Jika bersalin tanpa darah atau bersalin secara Caesar tanpa ada darah, maka tidak wajib mandi sebab illat mandi ialah adanya nifas (bila kering nifas, barulah mandi.

Tujuan mandi adalah utk membersihkan diri dan membolehkan kita bersolat. Selepas mandi nifas, boleh bersolat spt yg disebut dlm hadith. Jadi, apa keperluan mandi wiladah?

Tafsiran mandi wiladah dan nifas ini adalah khilaf pada tafsiran illat (sebab) mandi bagi wanita: samada kerana bersalin atau kerana darah nifas.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, darah yang keluar mengiringi wanita yang bersalin itu dipanggil darah wiladah.

Hukum mandi wiladah sejurus bersalin itu adalah sunat bagi orang yang mempunyai darah nifas.

Namun bagi sesetengah wanita, kelahiran bayi itu disambut dengan keluarnya darah wiladah dan tidak disertai dengan darah nifas. Maka, mandi tersebut adalah mandi yang wajib sebagaimana menyucikan diri daripada hadas besar selepas melahirkan.

Moga-moga apa yang saya kongsikan ini, dapat dimanfaatkan buat kita semua. InsyaAllah...

No comments: