:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Friday, 28 January 2011

Kempen Yang Bagus. Jom Mulakan!

Ternampak poster ni kat blog ni. Terus rasa nak sebar-sebarkan kat sini.

Jadi kawan-kawan, jom kita mulakan!
Kalau tidak sekarang, bila lagi?


Thursday, 27 January 2011

Kehidupan Baru Yang Penuh Bermakna

Lama nak menulis, tak bermakna terus melupakan blog. Hari-hari pun buka, cuma idea untuk menulis yang tiada. Lagi pula sejak bertukar status ni, keutamaan tentulah diberi pada si kecil tu...

Masuk hari ke-20, masih lagi sedang menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Ini pun belum betul-betul absorb kehidupan sebenar. Semuanya bermula lepas masuk kerja nanti. Risau ada, takut pun ada. Tapi yang pasti, rindu pasti lagi banyak! Mmm...

Tak sabar nak tunggu habis pantang. Sebab sekarang ni dah rasa sangat boring, tak dapat nak keluar jalan-jalan. Ikutkan hati, nak je keluar, sebab rasanya dah agak sihat dah. Tapi, nantilah tunggu Sakinah dah sebulan. Masa tu pun memang kena keluar pergi klinik untuk suntikan bulan pertama Sakinah. Lepas tu, plan untuk balik Melaka. Oh, rindu rumah sendiri!

Yang pastinya, kehidupan kami suami isteri bertambah indah dengan kehadiran Sakinah. Walaupun penat, sebab kena bangun malam. Tapi, bahagia sebab dapat merasa nikmat menjadi ibu bapa. Alhamdulillah...

Monday, 17 January 2011

Cerita Malam Sakinah

Memang benarlah kata orang, kalau dah ada anak ni, semua benda yang dibuat, anak yang akan didahulukan. Sampaikan nak beronline pun, fikir-fikir banyak kali. Ni sementara dia tidur lena tu, baik kita pulun mana yang boleh. Kang kalau dia dah start enjin 'ehek-ehek' dia, memang tak dapatlah...

Baru masuk hari ke-10 usia Sakinah. Alhamdulillah, Sakinah memang langsung tak kena kuning. Memang jaga betul-betul. Tak sanggup rasanya nak berpisah dengan si kecil tu dalam saat-saat begini. Apatah lagi nak tengok tangan kecil halus dia tu dicucuk-cucuk. Mahu ibu dia yang melalak kang. Segala macam petua orang tua, saya ikut, nak elakkan dari terkena. Alhamdulillah, berjaya juga...

Biasanya bila dah ada anak kecil ni, orang akan tanya pasal rutin malam kita. Soalan biasa, 'Baby berjaga malam tak?'. Sakinah masa mula-mula balik rumah, ok je... Lagi pula lepas tu, Babah tak ada, sebab dah balik Melaka. Jadi tidur dengan Ibu, dia cuma bangun 3 - 4 jam sekali. Jadi saya boleh terimalah. Sebab tak adalah dia nak bangun sepanjang malam.

Lepas tu, bila Babah balik ari Rabu minggu lepas, dia mula buat perangai manja dia. Nak manja dengan Babah agaknya. Bangun dari pukul 3 pagi, lepas tu langsung tak nak tidur. Kalau diam je takpelah juga. Ni dia dah melalak-lalak. Hadui, dah Sakinah nangis tak henti-henti, Ibu dia pula tak tahu punca, ikutlah menangis sekali. Dah nak dekat Subuh baru kami perasan, rupanya dia dah buat 'projek besar punya'. Tak selesa agaknya. Lepas tu cerita dekat Opah Sakinah. Opah datang check, rupanya Sakinah kembung. Heh, maafkanlah ibubapa baru ni. Kami tak reti. Baru nak belajar sikit-sikit.

Malam esoknya pula, Sakinah buat hal yang sama juga. Hasil pengalaman semalam, kami check segala bagai. Dah check drypers, check pula perut dia. Sama juga, lepas Subuh baru dia tidur. Kami pun bantailah tidur juga. Dah 2 malam tidur tak cukup.

Kami masih mencari-cari cara nak buat Sakinah tidur lena time malam, dan kami pun boleh tidur lena. Kalau sebelum tidur, saya biarkan Sakinah bergayut lama-lama. Memang dia suka nak 'mengempeng'. Kadang-kadang dah lena dah, tapi memang dia tak nak lepas puting azimat dia tu. Dan hasilnya malam tadi, Sakinah bangun time yang sepatutnya sahaja. Tak adalah sejam sekali dia nak bangun. Itupun Babah bedung dia kuat-kuat, lepas tu tidur pun kena tutup lampu semua. Bagi gelap gelita...

Tiga malam lepas, saja try letak Sakinah tidur dalam baby cot. Baby cot tu pun betul-betul sebelah katil kami. Mula-mula dia lena la. Lepas tu, sampai tengah malam, dia jaga. Dah bagi susu semua, letak balik kat baby cot. Dia melalak-lalak. Lepas tu bila Babah angkat, letak tengah-tengah antara kami berdua, elok dia diam, pastu terus lena. Dia tau-tau je. Memang nak manja dengan kami berdua. Ingatkan oklah tidur dalam baby cot tu, sebab kalau siang, ok je. Rupanya kalau malam tak boleh. Nak mengempeng dengan kami berdua.

Tak apalah Sakinah, janji Sakinah tidur lena. Babah dengan Bubu bersempit pun tak apa. Malam ni jangan buat perangai 'indah-indah' ya! Babah tak ada. Kang Bubu lak menangis sama-sama dengan Sakinah. Hehe...

Friday, 14 January 2011

Pengalaman Yang Tak Akan Dilupakan - Bhgn 3

Rasanya ini bahagian yang terakhir. Harap-haraplah saya dapat ceritakan sampai habis hari ini, ok!

8 Januari 2011 - 12.00 tengah malam

Masa ni nurse baru selesai cucuk untuk tahan sakit. Cucuk kat punggung lak tu. Alhamdulillah, lepas je cucuk, rasa lega sket. Lepas tu baru terasa kepenatannya. Saya tau nak tidur je, sebab dah tak larat sangat. Suami pun tidur di kerusi sahaja sambil tunggu kan saya.

Seingat saya, sakit tu betul-betul tak terasa selama sejam je. Saya terjaga dalam pukul 1 pagi macam tulah, sebab mula terasa balik sakit tu. Tapi, boleh tahankan lagilah. Mungkin kesan ubat tahan sakit tulah. Tidur pun lena tak lena je. Memang hanya boleh tidur mengiring je. Pusing kiri, pusing kanan, untuk hilangkan rasa sakit tu...

8 Januari 2011 - 5.00 pagi

Dalam 10 minit sebelum pukul 5, saya terjaga. Lepas tu, saya dengar bunyi, 'pop'. Sejurus lepas tu, saya terasa ada air meleleh je kat bawah. Banyak lak tu. Saya cuak gak. Suami pulak dah balik masa pukul 3.00 pagi tadi. Terus tekan butang emergency kat tepi katil.

Nurse datang, saya cakap, rasanya air ketuban dah pecah. Lepas tu dia datang tengok, ada darah jugak. Saya buat-buat relax je. Lagipun belum ada rasa sakit apa semua. Nurse panggil midwife datang untuk check. Lepas tu, dia terus buat CTG.

Saya call Suami untuk datang. Sebab, rasanya macam tak lama je lagi. Call sampai 3 kali, tak berangkat. Terus call Mama, minta tolong untuk kejutkan Suami. Rasanya tidur mati, sebab keletihan tu.

Dalam 15 minit kemudian, baru terasa sakit contraction. Sakit kali ni, lagi sakit dari yang malam tadi. Sungguh dah tak boleh tahan dah. Airmata memang berjujuran la. Setiap kali datang, memang katil hospital tu kuat saya tarik. Sebelah tangan pegang katil, sebelah lagi pegang tangan Suami. Contraction dah mula datang secara konsisten. Masa berhenti kejap tu, bolehlah saya tarik nafas kejap.

Midwife datang check bukaan. Dah 4cm ok. Maknanya dah kena terus masuk labour room. Tapi sebelum masuk bilik bersalin, kena ubat untuk bagi buang air besar. Memang terus je rasa nak membuang. Masa tu nak meneran pun takut sangat. Jangan benda lain yang keluar sudahlah. Memang menangis-nangis jelah. Tangan lak tak lepas pegang besi tepi jamban tu. Dengan nak tahan sakit contraction lagi. Memang celaru sangat, sebab tak tau nak buat apa dulu.

8 Januari 2011 - 6.00 pagi

Nurse dah tunggu dengan kerusi roda kat depan bilik. Nasib baik pakai kerusi roda, sebab rasanya memang dah tak larat dengan contraction yang datang secara kerap tu. Bila datang je, apa yang ada memang saya pengang kuat-kuat.

Sampai je terus kena naik atas katil. Setiap kali contraction datang, memang besi katil tulah jadi mangsa. Nak kurangkan rasa sakit, kena mengiring. Rasa macam nak putus nyawa. Masa tu juga midwife sibuk nak buat CTG. Nak check heart beat bb masa contraction. Masa kat bilik tak dapat nak amik sebab setiap kali contraction datang, katil pun saya gegar.

Bila dah kat bilik bersalin pun sama juga. Ingat senang ke nak suruh duduk diam masa contraction. Sakit ok! Dalam masa yang sama dia tanya sama ada saya nak amik epidural atau tidak. Macam mana nak fikir dalam keadaan macam tu. Tau nak rasa sakit tu cepat-cepat pegi je...

Tapi masa contraction berhenti kejap, saya sempat juga tanya macam-macam kat midwife tu tentang epidural. Bila fikir-fikir balik, takut saya penat dengan sakit contraction, lepas tu tak larat pulak nak meneran. Jadi, saya setujulah untuk ambil epidural. Tapi, untuk ambik epidural, bukaan mesti tak lebih 4cm. Kalau dah lebih memanglah tak boleh nak ambil dah. Tahan jelah sakit tu sampai bersalin.

Jadi, midwife kena check bukaan untuk decide boleh ambil epidural atau tidak. Kalau boleh, terus dia akan panggil pakar bius. Sekali check, bukaan dah jadi 8cm. Oh, macam tak percaya! Masa tu setiap kali contraction datang, saya dah rasa lain macam kat punggung. Macam ada benda nak terkeluar. Maknanya epidural dah tak boleh ambil dah.

Nurse terus pasangkan besi kat tepi katil untuk letak kaki. Lepas tu suruh saya jangan meneran. Ingat boleh tahan ke? Memang dah rasa nak terkeluar dah sangat. Midwife suruh sabar, sebab Dr. Fazlina pun belum sampai lagi. Lagipun, kalau teran sekarang, takut banyak sangat koyak dan kepala bb akan ada benjol.

Yang saya tahu, Dr. Fazlina sampai, tepat pada waktunya. Memang dah nak teran sangat dah rasanya. Bila sampai waktu nak teran, salah pulak cara teran. Macam mana bb nak keluar. Masa sakit contraction tu berhenti kejap, midwife ajar cara nak teran dengan betul. Supaya tak penat, dan bb dapat keluar dengan cepat. Yang penting juga, rasa sakit tu akan segera hilang.

Seingat saya, saya teran tiga kali dalam satu nafas, baru dapat keluarkan kepala. Tak sempat nak teran lagi, untuk keluarkan badan bb, tau-tau Dr. dah letak bb atas badan. Lepas tu suruh saya peluk bb.

Oh, macam tak percaya ok! Rasa sakit terus hilang bila nampak bb. Dengan bb keluar-keluar tak menangis, lepas tu nampak mata bb yang besar tu, melilau-lilau tengok sekeliling. Lepas tu saya dah tak ingat apa dah. Yang saya tahu, memang lama Dr. buar kerja kat bawah ni.

Alhamdulillah, Annaurah Sakinah lahir tepat jam 7.06 pagi pada 8 Januari 2011 dengan disambut oleh Dr. Fazlina. Bila teringat sakit bersalin tu, rasa macam tak nak mengandung lagi. Tapi, bila ingat saat indah masa mengandungkan Sakinah, rasa macam nak pula. Teringat-ingat lagi bb menendang-nendang. Sekarang, dia tendang perut saya dari luar je.

InsyaAllah, hari ini Annaurah Sakinah akan diaqiqahkan dengan seekor kambing. Ikut sunnah, afdhal hari ke-7 kan.

Buat bakal-bakal ibu yang dah nak dekat bersalin, jangan ada perasaan takut nak bersalin. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja. Berdoalah banyak-banyak ya! Ameen...

Thursday, 13 January 2011

Pengalaman Yang Tak Akan Dilupakan - Bhgn 2

Ok sambung cerita semalam, sementara Sakinah tengah tidur lagi tu...

7 Januari 2011 - 3.00 petang

Masa ni terus pegi daftar masuk ke wad. Dalam hati memang berdebar-debarlah. Lepas nurse hantar masuk wad, dia suruh salin baju yang disediakan semua. Masih lagi dalam keadaan, percaya dan tidak je. Dah salin baju semua saya baring atas katil, sambil borak-borak dengan Suami. Tak lama kemudian, masuk nurse untuk buat CTG selama 15 minit.

Lepas tu lama jugak la tunggu, midwife datang untuk buat proses induce. Dalam pukul 4.15 petang macam tu, baru dia datang. Saya teragak-agak juga masa tu, sama ada nak terus diinduce atau tunggu waktu untuk Solat Asar. Tapi, sebab dia dah datang, saya redha dah redah jelah.

Proses dia sama lebih kurang macam VE. Ngeri? Tahan jelah... Masa midwife tengah buat tu, saya terasa basah berair kat bahagian bawah tu. Saya ingatkan air ketuban pecah. Rupanya, dia letakkan air untuk memudahkan proses induce tu. Saya ingatkan nak induce kena cucuk kat bawah tu. Oh, memang tak terbayangkanlah. Rupanya, masukkan ubat kat dalam vagina.

Dalam masa 1 jam selepas diinduce, memang tak boleh bergerak. Cuma duduk atas katil, pusing kiri kanan sahaja. Lepas tu, barulah boleh bergerak. Kemudian dalam masa enam jam, lepas induce, midwife akan datang untuk buat VE. Nak tengok bukaan. Kalau masih tiada bukaan, kena induce sekali lagi. Keseluruhan proses induce yang boleh dibuat sebanyak 4 kali, kalau masih tiada bukaan la. Jadi, dalam pukul 12 tengahmalam nanti, midwife akan datang untuk check bukaan, dan decide untuk induce sekali lagi atau tidak.

Sejam lepas diinduce, dah boleh start bergerak. Bangun untuk bersolat. Dalam masa 1 jam tu, ada juga rasa contraction. Tapi, yang lite-lite jelah. So, masih boleh ditahankan lagi.

7 Januari 2011 - 7.00 malam

Masa ni, Suami dah balik. Lagipun beliau tengok saya ok-ok je, baliklah kejap untuk mandi dan bersolat semua. Saya pulak, baring-baring merehatkan diri. Takut pun iye juga. Masa ni, tak ada contraction ke apa semua. Memang relax-relax jelah. Tu yang boleh baring dan tidur tu.

Dalam pukul 7.45 malam, baru bangun untuk bersolat Maghrib. Lepas tu sementara tunggu masuk Isyak, sempatlah baca Yaasiin. Yelah, nak hilangkan gundah gulana dalam hati. Suami pun tak sampai lagi kan. Masa ni, dah tak larat nak solat biasa. Solat secara duduklah. Itu yang mampu dibuat.

Lepas Isyak, terasa lapar sangat! Padahal dah makan malam dah sebelum Maghrib tadi. Jadi SMS Suami untuk bawakan makanan. Memang sangat lapar, yang tak tertahan rasanya...

7 Januari 2011 - 9.00 malam

Masa ni, saya dah start rasa contraction yang kerap tu. Mula-mula tak perasan. Suami datang bawakan makanan pun, dah tak terjamah, sebab rasa sakit sangat. Saya ingatkan itu memang kesan induce. Jadi relax jelah, sambil tahankan sakit tu. Tapi saya check juga, berapa minit sekali datang. Dalam 5-7 minit sekali.

Sampai pukul 10.30 malam, saya dah tak boleh tahan dah. Rasa nak tercabut pinggang ni. Kalau dulu biasa rasa sakit senggugut. Sakit yang ini, lebih lagi. Panggil nurse, untuk check. Sebab dah tak tahan sangat dah.

Kalau ikutkan, akan buat CTG pukul 11.30 malam, sebelum buat VE pukul 12 tengah malam. Tapi, sebab sakit tu kerap datang, nurse terus buat CTG. Bayangkan, masa tu sakit perut mengeras, lepas tu kena letak benda atas perut. Oh, lagi sakit ok! Tapi tahankan juga...

7 Januari 2011 - 11.30 malam

Masa ni midwife dah datang untuk buat VE. Ada dua orang yang datang. Tengok heartbeat baby semua ok. Contraction pun dah datang kerap. Masa midwife tu datang, kenalkan diri, lepas tu adalah dia cakap pasal procedure apa ntah semua. Saya dah tak boleh nak masuk apa pun yang dia cakap. Dengar tak dengar je. Sakit perut tu, mengatasi segala-galanya.

Mereka minta untuk buat VE. Yang seorang akan 'seluk', dan seorang lagi pegang perut saya rasa contraction. Oh, sangat sakit ok! Daripada saya menangis tertahan-tahan, terus saya menjerit. Masa tengah sakit contraction, dia seluk pulak kat bawah tu. Gila tak sakit? Allah je yang tahu.

Kecewa sangat sebab bukaan baru 1.5cm. Lama lagi nak capai 10cm. Midwife report kepada Dr. Fazlina, dan Dr. suruh saya di'inject' tahan sakit. Itu je caranya. Sebab, kalau tidak, saya akan keletihan, sebelum proses bersalin. Takut tak boleh nak bersalin secara normal.

Masa ni juga ada dia cakap pasal epidural. Tanya saya nak ambil atau tidak, sebab dia cakap, sakit yang saya rasa tu, baru sikit je. Sakit bersalin lebih daripada itu. Kalau yang ini pun, saya tak boleh nak tahan, yang itu nanti macam mana kan... Tapi, saya tak decide apa-apa pun lagi. Tak boleh nak fikir apa-apa pun. Cuma mahu rasa sakit tu hilang je...

Eh, nanti sambung lagi ye... Penat duduk menghadap PC...


Wednesday, 12 January 2011

Pengalaman Yang Tak Akan Dilupakan - Bhgn 1

Alhamdulillah, hari ni umur Sakinah masuk hari ke-5. InsyaAllah, hari Jumaat kami akan aqiqahkan dia. Ikut sunnah, afdhal hari yang ke-7 kan. Lagipun, memang kami dah berniat sebelum dia lahir lagi.

Ok, seperti yang dijanjikan, saya akan ceritakan pengalaman melahirkan Sakinah, yang pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila pun. Biarpun kesakitannya masih terasa, tapi itulah pengalaman yang paling indah dan manis...

7 Januari 2011 - 11.00 pagi

Hari ni, saya ada appoinment di Az-Zahrah dengan Dr. Fazlina Hanum - Dr. yang akan menyambut kelahiran anak saya. Asalnya appoinment tu esok, 8 Januari 2011. Tapi saya minta tukar hari ni, sebab biasanya tak ramai sangat orang. Jadi, tak perlu menunggu lama-lama.

Kami sampai seperti dijanjikan, dan Dr. memang tak ada patient pun. Alhamdulillah. Lepas check berat, tekanan darah dan air kencing semua, terus masuk bilik Dr. Macam biasa, masuk terus kena naik atas katil untuk check perutlah kan. Dan hasilnya, tiada perkembangan dari minggu lepas. Berat bb masih sama seperti minggu lepas 2.4kg sahaja. Macam saya pernah cerita kat entri ni, tentang pening pasal EDD dan pasal bb yang tak membesar seperti sepatutnya. Masalah yang sama juga masa check hari ni. Itupun Dr. dah anjakkan EDD ke 30 Januari 2011, yang mana hari ni bb baru 36 minggu 5 hari. Tapi saiz badan bb baru 33 minggu. Beza 3 minggu kan.

Kemudian Dr. nak check bukaan. Oh, saya memang ngeri part yang ni ye... Rasanya, dah 2 kali diVE pun, saya masih tak boleh membiasakan diri. Masa tu saya memang sangat berharap dah ada bukaan yang besar. Jadi, tak perlulah lama sangat menunggu kan. Tapi, hampa. Bukaan masih kurang dari 1cm.

Terus Dr. decide untuk induce. Sebab dari minggu lepas, tiada perkembangan tentang pembesaran bb. Tapi, Alhamdulillah, bb bergerak aktif seperti biasa. Jadi, saya tanya bila nak induce. Dr. decide hari ini juga. Maknanya saya akan bersalin esoklah. Oh, macam tak percaya je masa tu. Petang kena terus menyerah diri untuk diwarded dan seterusnya diinduce. Oh, bersediakah saya?

Ok, sambung bahagian ke-2 ye. Sakinah dah bangun nak menyusu...

Monday, 10 January 2011

Annaurah Sakinah ~~ Permata Hati Kami



Hari ini selesai mendaftarkan nama puteri kami ini.
Jadi, dah daftar, baru boleh beritahu kat semua orang.

ANNAURAH SAKINAH BINTI ABDUL HALIM
Annaurah - Menerangi (daripada perkataan nur yang bermaksud cahaya)
Sakinah - Ketenangan

Semoga dengan kehadiran Annaurah Sakinah, akan memberikan cahaya ketenangan di dalam keluarga kami. Ameen... Jadi anak yang solehah ya!


P/S : Detik-detik kelahiran Sakinah akan diceritakan nanti. Sekarang tengah seronok menggomol si kecil tu. Hee!


Yang Dinanti... Alhamdulillah...

Inilah puteri tecik yang dinanti-nantikan.
Lahir pada minggu ke-38.
Alhamdulillah, semuanya selamat...


Tarikh Lahir : 8 Januari 2011
Masa : 7.06 pagi
Tempat : Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi
Berat : 2.16 kg secara normal



Thursday, 6 January 2011

Mendebarkan...

Hari ni selesai buat check up untuk minggu ke-38. Bukan di KD Batu Berendam. Tapi di KK Bangi. Ye, saya masih di Bangi, masih lagi menghitung hari. Bak kata Suami, 'Ibarat menanti buah yang tak gugur'. Haha! Sabar, sabar...

Lepas 2 hari berturut-turut menyerahkan diri untuk dibuat CTG & VE, perasaan berdebar bertambah kuat. Apatah lagi bila hari ni diberitahu, Bb bukan setakat dah turun, tapi juga dah engaged. Patutlah, dari malam tadi terasa kesakitan yang teramat di kelengkang tu. Sampaikan tak boleh nak angkat kaki dah. Tadi pun masa berjalan terasa sangat sakit. Lepas ni, kalau pegi menyerah pun, biarlah masa dah turun tanda. Tak sanggup rasanya nak diseluk lagi.

Oh ye, hari Selasa lepas pun, saya menyerahkan diri untuk diVE, selepas terasa kontraksi setiap 10 minit. Ingatkan dah sampai masa. Tapi, masih sama. Belum ada bukaan. Apa lagi saya boleh buat untuk memudahkan bukaan? Ada petua tak? Nurse tak bagi minum air selusuh, selagi belum ada bukaan. Sebab air selusuh akan menyebabkan kontraksi yang lebih kuat. Bukan memudahkan lagi bukaan.

Terasa-rasa je seperti hampir waktunya. Harap-harap segala urusan dipermudahkan. Ameen...

Monday, 3 January 2011

Menunggu & Menanti, Sambil Mengira Hari

Kalau ikutkan EDD 22 Januari, dah tinggal kurang 20 hari je lagi. Nak kata membawak perut yang besar sangat, rasanya macam tak. Tapi, nak berjalan banyak-banyak, nampak macam dah tak larat. Rasanya pun macam tak larat. Tapi, gagahkan jelah diri. Sebab orang kata, nak dekat-dekat hari ni, elok banyakkan berjalan. Mudahkan sikit buka jalan untuk Bb keluar...

Lepas check up hari Jumaat lepas, macam yang saya dah cerita dengan begitu detail dalam entri yang ini, rasa macam dah start sakit dari pinggang ke bawah. Lagi-lagi kat bahagian kelengkang tu. Seingat saya, Dr. cakap, Bb baru turun sikit je, belum engaged pun lagi. Tapi dia punya sakit, rasa macam Bb dah dekat bawah sangat dah. Tapi sebab sakit yang datang tu, tak berapa nak konsisten, maksudnya tak ada time tertentu la, maka saya relaz-relax jelah.

Hari Sabtu, puas tawaf The Mines. Layankan Suami tu. Walaupun sakit, cuba tahankan juga. Berjalan, dengan kadar yang sangat perlahanlah kan. Ikutlah Suami rentak ibu mngandung ni. Penat memanglah penat. Tapi, sebab nak ikut petua ibu-ibu, maka teruskan jelah. Hehe...

Semalam pun, konon-kononnnya nak teruskan misi berjalan-jalan. Tapi, sibuk pula mengemas bilik ni, untuk menyambut kedatangan Bb la. Lagipun ada misi yang tak terancang. Jadi, selesaikanlah dulu. Dah petang, barulah keluar. Itupun pergi ke Warta tu yang sekangkang kera je dari rumah ni. Baru jalan sikit, dah rasa sakit yang amat! Ingatkan boleh tahan. Bila Suami selesai beli barang yang Beliau mahu, terus ajak balik. Padahal kalau ikutkan, banyak yang dirancangkan aritu. Tapi sebab tak tahan sangat sakit, balik lagi bagus...

Dan semalam start kontraksi 30 minit sekali. Start dari pukul 7 malam, saya kira memang sakit tu datang setengah jam, setengah jam. Cakap juga dengan Suami. Beliau ajak terus ke Az-Zahrah. Tapi, saya cakap, nanti dulu la. Ingatkan nak tunggu turun tanda. Tapi, dua-dua tak sedap hati. Suspen pun ada gak. Tertanya-tanya bilalah agaknya si kecik ni nak kuar.

Pagi tadi, gagahkan diri ke Az-Zahrah. Sebab sakit tu masih datang lagi. Sampai je kat depan tu, saya blur, tak tahu nak buat apa. Nak cakap macam mana dekat nurse tu pun tak tahu. Ke malu ntah. Hehe... Tapi sebab sakit, cakap jelah yang saya sakit perut. Terus kena naik ke tingkat 2. Masa nak naik tu, dah suspen dah. Rasa macam dah nak kena bersalin je. Takut + cuak, semua pun ada.

Sampai kat atas tu, bagitau dekat nurse dengan bagi buku merah tu. Nurse siap-siapkan tempat untuk check up. Lepas tu kena panggil masuk bilik tu. Macam biasa, check heartbeat Bb. Alhamdulillah, semua ok. Siap dia tendang-tendang lagi. Bukan main kuat lagi bunyi menendang. Tak lama kemudian, datang midwife tanyalah macam-macam. Lepas tu, dia cakap nak check kat bawah. Oh, inilah yang paling takut sekali. Tapi sebab Suami ada kat sebelah, so macam bersemangatlah. Haha! Tak payah cerita part yang ni. Kang ada yang takut kang. Tapi yang dah rasa, faham-faham sendirilah kan.

Midwife cakap, jalan baru buka sikit. Tapi tak sampai 1cm pun. So, tanya Dr. pun, confirm la kena balik je. Saya pun tak naklah kena masuk wad. Kami tanya, agak-agak ambil masa lama ke nak tunggu jalan tu buka. Dia pun tak berani nak cakap sangat, sebab anak first kan. Tak tahu macam mana. Ada orang seminggu pun belum tentu lagi. Tapi dia cakap, sebab dia dah seluk, takut juga, akan turun tanda arini. Dan mungkin juga akan memudahkan lagi nak buka jalan tu. Tapi, ini pun tak pasti sangat.

Jadi, sekarang ni, tak tahu sama ada nak stay dulu kat Bangi, atau ikut Suami balik Melaka. Kalau memang confirm akan keluar minggu ni, bolehlah saya mula bercuti je. Tapi, kalau lama lagi? Oh, banyak sangatlah pula kena cuti. Masih lagi sedang ditimbang tara. So, tunggu jelah keputusannya nanti...

Saturday, 1 January 2011

Dari MMX Ke MMXI

Pada saya, 2010 berakhir dengan cemerlang sekali. Syukur Alhamdulillah...

Yang pertama tentulah, selamat menjadi isteri kepada suami tercinta...

Semuanya catatan boleh dilihat di Jurnal 2 Hati dan Raikan Cinta.

Kemudian, diberi berita gembira ini...

Semua cerita di Catatan Isteri dan Nota Anak.

Yang ketiga, dapat pula berita pertukaran untuk berada di sisi Suami. Cerita di sini.

Harapan untuk tahun ini, moga saya diberi kekuatan untuk menjadi Ibu yang baik buat anak yang sedang lasak kat dalam ni. Juga diberi kesabaran untuk menjadi Isteri yang solehah buat Suami tercinta. Dan tentulah menjadi anak yang baik buat Mama dan Ayah, juga menantu yang sempurna buat Mak dan Abah Mertua.

Semoga dimurahkan rezeki buat kami sekeluarga, dan kebahagiaan sentiasa mengiringi kehidupan kami. Ameen...

Pening! Tapi Sikit Je Kot...

Lama tinggalkan blog bukan sebab dah seronok menggomol si kecil tu ye... Belum lagi la... Masih lagi gagah bekerja. Haha! Ingatkan nak ambik tarikh best arini 1.1.11. Entah, Bb tak mau kot. Ibu dia je yang excited lebih. Kan, kan...

Ingatkan entri saya yang ini? Saya tak ceritakan detail, apa yang saya dan Suami risaukan pasal si kecil ni kan? Ok, hari ni saya cerita ye. Tau dah lama dah cerita tu. Tapi masa tu kan risau-risau. Jadi macam tak ada mood nak cerita panjang-panjang...

Saya ada appointment dengan Dr. di Az-Zahrah pada 18.12 yang lepas. Kalau ikutkan ini kali kedua saya jumpa beliau. Masa tu usia kandungan tepat 35 minggu. First time jumpa masa kandungan berusia 26 minggu. Lama kan? Masa jumpa yang pertama kali tu, semuanya ok-ok je. Sebab tu Dr. suruh datang 10 minggu kemudian je. Untuk cukupkan 2 kali appointment. Lagipun saya buat check up di KD kan. Buat kat Az-Zahrah, sebab plan untuk bersalin di sini.

Masa pertemuan yang kedua tu, kami dikejutkan dengan berita yang tak berapa sedap nak dengar tentang Bb. Masa di scan, keadaan badan Bb kecil dari usia kandungan sepatutnya. Masa tu kandungan masuk minggu ke 35, tapi badan Bb baru berusia 32 minggu. Jauh kan bezanya? 3 minggu. Kalau beza seminggu-dua, masih dikira normal. Tapi, kalau dah 3 minggu bezanya, takut-takut ada sesuatu yang tak berapa nak best jadi kat Bb la.

Keadaan kepala dan tulang Bb, berada pada tahap normal. Cuma badannya sahaja yang kecil. Bak kata Dr, Bb macam kelihatan kurus. Siapa yang tak risau kan? Jadi, Dr. minta untuk datang lagi 2 minggu, untuk pemantauan la. Kalau still sama, macam saya cakap kat entri ini, induce la jawabnya kan. Dr. minta saya alert dengan pergerakan Bb. Kalau rasa something yang luar daripada biasa, segera ke hospital. Bila Suami tanya Dr. apa punca jadi macam sekarang ni. Dr. cakap, bukan sebab ibu tak makan atau kurang makan. Cuma takut supply makanan tu tak sampai dekat Bb, yang mana mungkin ada masalah pada tali pusat atau plasenta Bb. Itu kan kilang makanan Bb. Jadi, Ibu tiada apa-apa masalah ye...

Jadi, dalam masa 2 minggu ni, memang saya alert betul-betul dengan pergerakan Bb. Risau kan? Hari Rabu yang lepas, saya perasan, pergerakan Bb agak slow. Tapi sebab saya takut jadi kes macam hari tu, jadi saya relax je dulu. Dah petang baru Bb aktif, yang mana saya syak, memang Bb tidur. Lagipun, dia dah kekurangan ruang untuk banyak bergerak macam dulu kan. Nasib baik saya tak gelabah-gelabah ajak Suami balik Bangi. Hehe!

Hari Khamis lepas, ada appointment dengan KD. Takut juga sebenarnya, sebab Bb kurang gerak kan sehari sebelum tu. Takut mungkin kena refer ke hospital. Masa check dengan nurse, heartbeat Bb tak berapa nak cantik. Kurang dari 120. Sepatutnya kena lebih 130. Ok, saya start risau balik. Tapi, nurse cakap juga, mungkin Bb tidur lagi. Nurse suruh refer kepada Dr. Ok, the best part, bila masuk dalam jumpa Dr, heartbeat dia dah jadi 127. Padahal sebelum tu kurang dari 120 kan? So, tanya Dr. macam mana kan... Dr. cakap, kalau dah masuk 36 minggu, heartbeat normal untuk Bb adalah atas 110. Maknanya, my Bb ok jelah. Fuhh, lega... So, lepas ni kena ke KD setiap minggu, sampai bersalin.

Hari semalam punya cerita pulak, appointment dengan Az-Zahrah. Memang dah prepare je ni, kalau nak kena induce. Mungkin Bb nak jadi baby penutup tahun 2010 kot kan. Jadi, redha jelah... Keadaan kepala dan tulang, ok je. Sesuailah dengan usia kandungan 37 minggu. Badan masih macam dulu, cuma naik sikit je kepada 33 minggu. Maknanya, dah ada beza 4 minggu, betul tak? Jadi, Dr. tanya, nak induce ke? Kalau ok, akan diinduce hari Selasa 4hb Januari. Saya pandang Suami, tak tahu nak jawab apa. Tanya balik advice Dr macam mana. Sebab memang tak tahu nak decide. Tapi, kalau Dr kata kena induce, memang saya berserah je. Sekarang ni, Dr. tanya saya, tu yang tak tahu nak decide tu.

Jadi lepas bincang itu, ini... Dr. tanya balik circle period saya, jadi Dr. agak mungkin berlaku salah pengiraan usia kandungan. Saya memang period tiap-tiap bulan. Cuma biasanya ia akan lewat seminggu. Jadi, Dr. lewatkan seminggu usia kandungan. Lepas tu tengok pula scan yang pertama, tengok EDD kat situ 30.01.2011. Dr. beritahu, biasanya scan sebelum usia kandungan 20 minggu yang menentukan usia sebenar Bb. Maknanya, Bb baru berusia 36 minggu la sekarang ni. Dr. beritahu lagi yang berat Bb baru 2.4 kg. Kecil kan? Ini mungkin sebab faktor, supply makanan tak sampai, atau faktor genetik. Tapi, Bb bergerak memang sangat aktif. Jadi, Dr. tak risau sangatlah. Kalau dia kurang bergerak tu, yang Dr. minta segera ke hospital.

Balik dari klinik, takdelah risau sangat macam 2 minggu lepas. Dan baru saya teringat, mungkin betul cakap Dr. yang Bb kecil sedikit dari Bb yang seusia, sebab faktor genetik. Mama lahirkan kami adik-beradik semuanya kurang dari 3kg. Saya sendiri lahir tak sampai 2kg pun. Itupun sebab saya lahir tak cukup bulan. Baru 7 bulan, dah tak sabar nak keluar. Hehe.. Itupun dah mengurangkan lagi kadar kerisauan saya. Mama cakap, memang kami lahir kecil-kecil belaka. Adik yang paling besar pun, cuma 2.8kg sahaja. Tapi, bila dah keluar, cepat pula membesar. Macam sekarang nilah...

Jadi, minggu depan ada appointment di KD, juga di Az-Zahrah. Saya sangat berharap, saya tak perlu diinduce. Biarlah semuanya berlaku secara semulajadi. Ameen...

NOTA : Selamat Tahun Baru 2011 untuk semua pembaca blog saya ini. Semoga kita semua dilimpahi rezeki dan rahmat dari-NYA. Ameen...