:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Sunday, 13 July 2008

Hari Sedih Buat Kami Sekeluarga - 11 Julai 2008

PUTRAJAYA: Seorang kontraktor yang baru menerima cahaya mata tiga minggu lalu, maut dalam satu kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 4.8, Lebuhraya Kajang-Puchong, berhampiran susur keluar dari Taman Wetlands, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Amin Naser Abdul Razak, 37, dari Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, yang memandu Perodua Kembara dalam perjalanan dari Bangi ke Puchong, terbunuh selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong paling kanan lebuh raya itu.

Berikutan itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.

Seorang rakan mangsa, Ramlah Mohd Yasak, 46, dari Bangi, berkata kira-kira tiga minggu lalu, isteri mangsa melahirkan anak mereka yang keempat.


“Saya sedih apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan ini. Baru tiga minggu lalu, dia dapat anak baru dan amat gembira sekali.

“Tak sangka sungguh, hari ini, dia pula yang pergi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu dikeluarkan sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan kira-kira setengah jam kemudian sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sejurus sebelum kejadian, seorang penunggang motosikal terjatuh selepas berlaga dengan sebuah motosikal lain apabila gagal mengawal motosikal yang pancit tayar depannya.

“Selepas terjatuh, penunggang berkenaan berjaya menyelamatkan diri daripada dilanggar kenderaan lain dengan berlari ke tepi lebuh raya itu dan meninggalkan motosikalnya di tengah jalan, manakala seorang penunggang lain pula selamat dan meneruskan perjalanannya.

“Bagaimanapun, sebuah lori yang menghala ke Puchong merempuh motosikal itu dan mengheretnya sejauh kira-kira 70 meter.

“Ketika pemandu lori berkenaan cuba mengeluarkan motosikal tersepit di bawah lorinya, Perodua Kembara dipandu mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya itu,” katanya.



>> Petikan Harian Metro 12 Julai 2008

No comments: