:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Saturday, 28 November 2009

Aidil Adha Bersama Keluarga

Alhamdulillah, tahun ini dapat sekali lagi kami sekeluarga berkumpul, untuk sama-sama meraikan Aidil Adha dengan penuh kesyukuran. Berhari raya di Bandar Baru Bangi sejak bertahun-tahun, adalah sesuatu yang biasa bagi saya. Siapa yang cakap berhari raya di bandar tidak seronok? Bukankah kita yang tentukan, sama ada seronok atau tidak sesuatu itu?

Seronok, kerana bersama-sama adik-adik, bergurau senda. Membuat saya terfikir, dapatkah saya melaluinya lagi seperti ini, tahun depan? Tahun depan di sinikah saya atau mungkin di sana bersama keluarga mertua? Tak dapat saya gambarkan betapa mungkin sedihnya saya melalui hari-hari menjelang hari raya tanpa Mama di sisi. Siapakah yang akan membantu beliau membuat manisan, yang pastinya menjadi tugas saya. Mahukah adik-adik saya membantu beliau? Dengan siapa akan beliau berborak-borak di dapur?

Itulah, betapa bagaimanapun perangai ibu kita, tetap ibu kan. Betapa mungkin baiknya ibu mertua, tetap ibu kandung di hati. Betapa syurga isteri itu nanti di telapak kaki suami, tetap ibu diingati. Ya! Saya akui hubungan saya dengan Mama memang ada pasang surutnya. Ada sahaja yang tidak kena, dan saya tidak tahu kenapa. Tetapi, semakin hampir detik menjadi milik orang lain, semakin saya cuba untuk menjadi yang terbaik buat Mama, satu-satunya puteri beliau. Tabahkah saya untuk melalui hari-hari tanpa beliau di sisi saya...

Saya bukan anak yang baik, bukan juga anak yang sempurna untuk beliau. Tapi, saya tahu beliau amat menyayangi saya. Seboleh mungkin akan saya menyayangi beliau seumur hayat. Setiap tunjuk ajar beliau, walau kadang dalam bentuk bebelan, saya tahu, banyak gunanya. Tanpa bebelan beliau, akan pandaikah saya memasak, akan bijakkah saya menguruskan rumahtangga?

Maaf, teremosi pula saya. Sedangkan mahu bercerita mengenai Aidil Adha. Hehehe.. InsyaAllah, bersama adik-adik akan kami berBBQ di halaman rumah malam ini. Wah, sangat tidak sabarlah! Ayam telah dimarinated oleh 'Chef' kami, siapa lagi kalau bukan adik saya, Ja'a. Tiba-tiba lapar pula. Hahaha!

No comments: