:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Friday 20 February 2009

Tetapkan Matlamat & Buatlah Pilihan

Dalam hidup ini kita perlulah menetapkan matlamat apa yang kita inginkan dalam kehidupan ini. Sebagai umat Islam, tentulah matlamatnya untuk mendapat keberkatan hidup sebelum menuju akhirat yang abadi. Jadi, haruslah kita menjadikan kehidupan ini penuh dengan perkara-perkara kebaikan.

Seperti aku sendiri, aku punya matlamat dalam kehidupan ini, selain untuk mendapat keberkatan-NYA. Jika setiap orang punya azam setiap kali tahun baru. Aku pula lebih suka menetapkan matlamat, yang mana mungkin untuk mencapainya memerlukan masa yang panjang. Tapi aku akan pastikan aku akan mendapatkannya. Cuma cepat atau lambat sahaja.

Jika sewaktu belajar di MSU dulu, aku menetapkan untuk mendapatkan CGPA 3.00 ke atas, kerana sebagai pelajar tajaan MARA, aku boleh mengurangkan kadar pembayaran pinjaman pengajian. Tujuanku pada waktu itu, selain untuk menjadi pelajar terbaik, juga untuk memudahkan aku mendapat pekerjaan selepas tamat belajar nanti. Dan Alhamdulillah, dalam tempoh setahun tamat pengajian, aku memperoleh pekerjaan yang baik dan aku bukan sahaja dapat mengurangkan kadar pembayaran pinjaman, malah aku dapat terus menghapuskan pembayaran pinjaman itu. Aku mencapai lebih daripada yang aku tetapkan. Syukur Alhamdulillah.

Menetapkan matlamat dan membuat pilihan dalam mencapai matlamat itu sangat penting. Namun, jika kita gagal memperolehnya kini, yakinlah bahawa DIA menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Yang penting, kita tetap memperoleh sesuatu daripadanya. PENGALAMAN. Yang mungkin bukan semua orang boleh mendapatkannya.

Aku tahu, aku perlu menetapkan matlamat dalam kehidupan ini. Bila sudah punya matlamat, aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jika mungkin aku tidak berjaya memperolehnya, aku akan berpuashati kerana aku telah berusaha untuk mendapatkannya. Tapi mungkin DIA tidak mengizinkan untuk aku memperolehnya sekarang, mungkin akan datang kita tidak tahu. Sekurang-kurangnya aku memperoleh sesuatu.

Pilihan yang tepat dalam mencapai matlamat juga penting. Namun, jika tersalah perhitungan, janganlah menyesal, kerana apa sahaja yang berlaku, ada hikmah & sebab musababnya. Jadikan ia sebagai satu pengajaran dalam menjalani kehidupan seterusnya.

Jadi, tetapkan matlamat, apa yang ingin kau capai dalam kehidupan ini. Kemudian, buatlah pilihan. Jika sukar untuk itu, mintalah pada DIA... Istikharahlah... DIA lebih tahu apa yang terbaik buat kita hamba-NYA yang naif.

No comments: