:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Tuesday 15 September 2009

Tazkirah Ramadhan : Istidraj

Sepanjang bulan Ramadhan ini, kami satu department sepakat untuk membuat Tazkirah Ramadhan pada setiap pagi, yang mana tazkirah kan disampaikan oleh kami sendiri secara bergilir-gilir. Jadi hari ini, turn saya untuk menyampaikan tazkirah. Sukalah saya untuk berkongsi dengan kawan-kawan semua, mengeni tazkirah yang saya sampaikan tadi. Tajuk saya olah sendiri ye, ambil input daripada internet.

Renung-renungkan dan Selamat Beramal!


" Hari ini giliran saya untuk menyampaikan tazkirah sempena bulan Ramadhan yang berkat ini. Tazkirah saya pada hari ini adalah mengenai Istidraj. Mungkin ada di kalangan kita yang pernah mendengar mengenai Istdiraj ini. Hari ini saya akan huraikan secara ringkas & mendalam mengenai perkara ini. Semoga kita sama-sama akan mendapat manfaat.

Daripada Kamus Al-Muhit, Istidrajahu bermaksud menipu dan merendah-rendahkannya. Manakala, Istidrajahullah al-abda bermaksud Allah mengistidrajkan hamba-Nya, iaitu setiap kali hambanya membuat atau menambah kesalahan yang baru, maka setiap kali itu juga allah akan membuat atau menambah nikmat-Nya ke atas hamba-Nya itu dan setiap kali itu juga Allah membuatkan hamba-Nya itu lupa untuk memohon ampun ke atas dosa yang dilakukan terhadap-Nya, dan Allah akan mengambil sedikit demi sedikit nikmatnya itu, yang mana Allah tidak akan mengambilnya secara mengejut.


Allah berfirman di dalam ayat 182 Surah Al-A’raf (*baca ayat) yang bermaksud: Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), nanti akan Kami binasakan mereka itu dengan beransur-ansur, sedangkan mereka tidak tahu.Daripada ayat tersebut dapatlah disimpulkan bahawa Istidraj suatu perkara yang di luar adat kebiasaan yang berlaku terhadap seseorang insan dengan bertujuan untuk membinasakan insan tersebut dengan cara beransur-ansur dan bukan secara mengejut.


Dalam bahasa yang lebih mudah, Istidraj bermaksud pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhai-Nya. Seperti sabda Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh At-Tabrani, ahmad & al-Baihaqi : Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya, sedangkan hamba-Nya itu selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah s.w.t.


Dalam kes Istidraj ini, hamba yang telah diistidrajkan oleh-Nya, terkeliru dengan pemikiran mereka yang merasakan bahawa nikmat yang diberikan kepada mereka itu adalah kerana Allah sayangkan mereka dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Jadi sebab itu mereka tidak ragu-ragu untuk meneruskan perbuatan maksiat mereka itu, malah yang lebih teruk lagi, mereka berbangga dengan apa yang mereka miliki. Mereka ini boleh diibaratkan sebagai manusia yang lupa daratan. Mereka ini juga akan memandang rendah dan menghina orang yang beramal. Sehinggakan mereka boleh mengeluarkan kenyataan : “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli. Sedangkan aku ni ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah nak beribadat pun, rezeki dating mencurah-curah. Kalau dia tu, sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku”. Kata mereka dengan begitu sombong, tanpa mereka sedara yang kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan bertujuan untuk menghancurkannya.


Rasulullah s.a.w naik ke langit bertemu Allah pun tak pernah sombong. Nabi Sulaiman yang sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah pemerintahnnya pun tak pernah nak sombong! Sedangkan secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu-merdu suara Nabi Daud, mereka tak pernah sombong. Sampai waktu dan ketikanya, mereka tetap tunduk dan sujud menyembah Allah.


Rasulullah s.a.w bersabda : “Apabila Allah mengkehendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya”. Nampakkan? Semut yang tak boleh terbang, Allah bagi sayap untuk terbang. Apabila dah dapat nikmat (sayap), mencuba pula untuk melawan api. Begitulah manusia, apabila mendapat nikmat, pula hendak melawan Allah s.w.t.


Saya bagi contoh, sirah masa zaman nabi-nabi terdahulu, manusia yang diistidrajkan oleh Allah s.w.t.


Pertama, Firaun. Allah s.w.t berikan nikmat kepada Firaun memang tidak terkira. Firaun ini, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah, kerana Allah berikan-Nya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tetapi tidak Firaun. Orang lain mati, tapi Firaun tidak mati-mati juga. Sampailah Firaun rasa sangat angkuh dan besar diri lantas sewenang-wenangnya mengaku dirinya tuhan. Tapi tanpa disedari, dengan nikmat yang Allah berikan itu, Firaun dibinasakan.


Kedua, Namrud, yang pernah mencuba membakar Nabi Allah, Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Sehinggakan Namrud begitu angkuh dan sombong dengan Allah, yang memberikan Namrud nikmat. Tapi akhirnya Namrud menemui ajalnya hanya disebabkan oleh seekor Nyamuk yang masuk ke dalam lubang hidungnya. Namrud mati, hanya disebabkan serangga kecil sahaja.


Dan yang ketiga, Qarun, manusia yang paling kaya. Anak kunci gudang hartanya sahaja perlu dibawa oleh 40 ekor unta. Tapi akhirnya Qarun ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur dengan nikmat Allah.


Jadi, sebenarnya bila dikaji dan difikirkan betul-betul, maka terjawablah perkara-perkara yang mengganggu fikiran kita dan menimbulkan keraguan di hati. Mengapa orang kafir kaya, dan mengapa orang yang berbuat maksiat hidup senang dan mewah. Pemberian yang Allah berikan kepada mereka bukanlah diredhai-Nya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup tanpa keredhaan-Nya?


Tetapi, jangan pula selepas ini, kita nampak orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah, kita katakan dia istidraj. Orang naik pangkat pun kita cakap istidraj. Orang-orang besar, semua kita cakap istidraj. Jangan! Orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan dan untuk mengabdikan diri kepada Allah, bukanlah istidraj. Dan janganlah pula kita tidak mahukan kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan, mesti ada iman. Bukan kaya yang kita cari, dan bukan juga miskin yang kita cari. Kalau boleh, besederhanalah dalam apa-apa juga yang kita lakukan.


Tujuan kita hidup adalah untuk mendapat keredhaan-Nya. Bagaimanakah caranya untuk menentukan nikmat yang kita peroleh itu diredhai Allah s.w.t? Kita akan dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang kita terima dengan bersyukur atas nikmat-Nya itu. Cara bersyukur pun mudah sahaja, ucapkanlah ‘Alhamdulillah’. Gunakanlah nikmat pemberian-Nya itu ke jalan kebaikan dan sentiasalah redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Bertaubatlah apabila melakukan kesilapan, kerana kita manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan, dan pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun. Apabila tujuan kita hidup untuk mencari keredhaan Allah, insyaAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Ameen."






glitter-graphics.com

No comments: