HELIZA Helmi kelihatan tenang dan yakin setiap kali mengadakan persembahan. Namun, di sebalik riak wajah yang berkeyakinan itu, ramai tidak mengetahui bintang Akademi Fantasia 4 ini sebenarnya menghidapi masalah yang boleh dikatakan serius.
Tapak tangannya sentiasa berpeluh. Ia bukan peluh biasa. Adakala tangannya kelihatan seperti baru dibasuh. Keadaan menjadi lebih serius andai dia gementar dan risau.
“Setiap kali selepas persembahan, saya pasti akan mengelap dahulu mikrofon sebelum memberi kepada orang lain,” kata penyanyi dan pelakon bermata bundar ini.
Heliza disahkan doktor mengalami hiperhidrosis iaitu keadaan di mana individu berpeluh melampau. Terdapat pelbagai jenis hiperhidrosis dan gadis ini tergolong dalam palmar iaitu berpeluh melampau di bahagian tapak tangan.
Penuntut tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini mula menyedari dia mengalami masalah tersebut ketika sekolah rendah lagi. Menurutnya, ia bukan penyakit keturunan kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya mengalami masalah tersebut.
“Boleh dikatakan tisu adalah teman karib saya sepanjang masa. Di mana ada saya, di situlah ada tisu,” ujarnya.
Menurut Heliza, dia mengalami perpeluhan sepanjang masa kecuali tidur. Keadaan menjadi lebih serius seandainya dia berdebar untuk melakukan sesuatu, contohnya mengadakan persembahan dan menghadapi peperiksaan.
Heliza masih ingat bagaimana dia terpaksa membawa sapu tangan bagi menangani masalahnya ketika menduduki peperiksaan. Katanya, selain basah dan tidak selesa, tangannya juga sentiasa rasa sejuk.
Pelakon Syurga Cinta ini pernah mendapatkan pandangan daripada doktor dan cuba mencari sebanyak mungkin maklumat melalui pembacaan buku serta Internet.
“Buat masa ini saya memakai driclor. Bolehlah tahan sikit daripada berpeluh. Tapi, kadang-kadang jadi gatal-gatal pula,” katanya.
Heliza ada terbaca mengenai pembedahan Video Assissted Thoracoscopic Symphatectomy (VATS), namun sedang dalam pertimbangan sama ada ingin melakukannya atau tidak.
“Saya pernah terbaca kesan sampingan akibat pembedahan itu. Walaupun hanya peratusan yang kecil, tapi saya agak risau terutama andai ia menyebabkan kulit saya kering melampau,” katanya.
Apa itu hiperhidrosis?
Menurut Pakar Perunding Bedah dan Pensyarah Kanan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Muhammad Ishamuddin Ismail, hiperhidrosis adalah keadaan fisiologi yang disebabkan oleh sistem saraf simpathetik terlalu aktif.
“Punca sebenarnya tidak ketahui. Namun ia berlaku kepada satu hingga tiga peratus penduduk dunia tidak kira bangsa,” katanya.
Menurutnya, nisbah antara penghidap lelaki dan wanita adalah sama namun golongan lelaki cenderung mengalami jenis plantar (kaki) manakala wanita pula palmar.
Biasanya, simptom hiperhidrosis mula kelihatan ketika sejak usia antara 10 tahun hingga 20-an. Kemungkinan berlaku di kalangan ahli keluarga adalah tinggi namun ia bukan kemestian.
Walaupun tidak menjejaskan kesihatan keseluruhan, hiperhidrosis dianggap mengganggu aktiviti sosial individu terbabit.
“Individu terbabit akan rasa tidak selesa, rendah diri dan kurang berkeyakinan untuk bertemu orang ramai. Apatah lagi bagi mereka yang banyak terlibat dengan majlis sosial,” katanya.
Rawatan
Terdapat beberapa kaedah merawat hiperhidrosis. Antaranya:
Antiperspirant
# Dicadangkan kepada kes hiperhidrosis ringan dan bersifat sementara.
# Pemakaian perlu diulang.
# Pesakit serius, kaedah ini langsung tidak berkesan
Suntikan
# Bagi mengurangkan aktiviti saraf simpathetik.
# Namun kadangkala mengganggu aktiviti simpathetik hingga berlaku masalah lain seperti sembelit, cirit-birit, rasa loya dan pengsan.
# Hanya bertahan antara enam hingga lapan bulan sahaja.
Pembedahan
# Pembedahan invasif minimum melalui VATS paling berkesan dan selamat.
# Mengambil masa sekitar satu jam.
# Kesan serta-merta.
# Kejayaan hampir 100 peratus.
# Luka pembedahan hanya sebesar 5mm - 1sm.
Kesan sampingan
Dr. Muhammad Ishamuddin memberitahu, kemungkinan untuk mengalami kesan sampingan hanya sekitar satu hingga tiga peratus sahaja dan kesakitan yang berlaku biasanya disebabkan pembedahan.
Rasa sakit seperti sengal biasa berlaku di bahagian dada dan belakang.
“Ia berlaku lebih kurang dua minggu dan bersifat sementara,” katanya.
Jelas beliau lagi, pesakit boleh pulang dari wad sehari selepas pembedahan dan proses penyembuhan berlaku dengan pantas.
Kesan sampingan lain pula seperti berpeluh di bahagian lain, sesak nafas dan sebagainya juga bersifat sementara. Bagi mereka yang mengalami masalah kekeringan pula kata beliau, boleh diatasi dengan menyapu losen atau krim.
Menurutnya, sehingga kini PPUKM mencatatkan kejayaan 100 peratus dalam VATS dan purata 50 pembedahan dilakukan setiap tahun.
Dipetik dari Utusan Malaysia.
2 comments:
saya pun ada bca artikel ni kat majalah..masa baca ni saya pun positif kan diri la...penyanyi cam heliza pun ada sakit camni.xperlu risau2 or rendah diri...he..he
tulah... sbnrnyer brgntg pd jenis pekerjaan. nasib la sy ni keje dlm ofis yg ber-aircond. kl kne bjln2 ke, jenuh jugaklah berpeluh tu kan...
Post a Comment