Hari ini saya ingin kongsikan sesuatu dengan anda semua. Catatan pengalaman ini, datangnya dari peti emel saya, yang saya rasa wajar untuk saya kongsikan bersama anda. Jadikan pengajaran, buat yang sudah berumahtangga, akan berumahtangga (macam saya) dan yang merancang mahu berumahtangga. Terlalu banyak iktibar yang boleh diperoleh.
Di kesempatan kali ini saya ingin bercerita tentang kisah sepasang suami isteri yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pernikahan mereka yang telah mencecah 35 tahun. Mereka mengambil keputusan untuk berjumpa dengan seorang kaunselor untuk menceritakan masalah yang dihadapi.
Kaunselor yang bernama Dr H mula-mula memanggil si isteri untuk memulakan sessi kaunseling. Selepas beberapa soalan pengenalan, Dr H bertanya kepada isteri ini, "Agak-agaknya berapa peratus kasih sayang puan kepada suami puan?." Wanita berusia 50an itu termenung seketika sebelum menjawab, "sejujurnya Dr, cuma 80 peratus." Dr H yang berpengalaman itu bertanya lagi dengan tenang, "ke mana perginya 20 peratus lagi puan?" Sekali lagi wanita itu menjawab, "20 peratus itu hanya hormat kepada dia (suaminya)." Kali ini Dr H agak tersentak tapi dia meneruskan perbualan dengan kliennya. "Kenapa ada perbezaan di antara kasih sayang dan hormat Puan?"
Wanita itu menarik kerusinya lebih dekat ke arah Dr H dan menerangkan, "Saya memang kasihkan suami saya, dia ayah kepada anak-anak saya. Tapi saya tak mampu mengasihi dia 100 peratus. Kerana ada masanya, dia masih menyakiti hati saya dengan kata-katanya. Bagi dia, itu mungkin gurauan, tetapi sebagai isteri saya tetap terasa hati." Dr H, menganggukkan kepalanya sebagai tanda dia mendengar dan memahami kata-kata wanita tersebut. "Boleh saya tahu apa kata-katanya yang menyakiti hati Puan?", soal Dr H. Wanita itu diam seketika sebelum menjawab, "Suami saya suka membanding-bandingkan saya dengan ibunya, dengan kakaknya, dengan adiknya, dengan teman-teman sekerjanya. Kalau saya boleh menerima kekurangan suami saya seadanya, kenapa suami saya tidak boleh menerima kekurangan saya sedanya?Kenapa perlu dibandingkan dengan orang lain. Saya isterinya, dia boleh menegur kekurangan dan kelemahan saya, tetapi bukan membandingkan saya dengan orang lain."
Dr H agak tersentak kali ini kerana wanita yang kelihatan amat lembut dan pemalu ini akhirnya mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Dr H kemudian bertanya lagi, "apa maksud puan 20 peratus lagi itu cuma hormat kepada suami puan?". Wanita itu menarik nafas dan kelihatan ada airmata yang bergenang di matanya, tetapi dia tetap mahu menjawab soalan tersebut. "Saya menghormati suami saya kerana dialah yang mengajar saya membaca Quran dengan betul, dan dialah yang menjadi imam solat saya. Itu di antara kebaikannya yang membuatkan saya hormat pada dia." Dr H merasakan waktu itu ada rasa sayu yang menyelinap masuk ke hatinya.Tapi dia terus mengawal perasaannya. Selepas beberapa soalan lain, Dr H memanggil suami wanita tersebut masuk ke biliknya untuk memulakan sessi kaunseling manakala isterinya menunggu di luar.
"Dr, apa yang isteri saya cakap kepada Dr tadi?. Adakah dia masih sayangkan saya?" soal si suami yang tidak sabar-sabar untuk mengetahui apa yang telah diluahkan oleh isterinya. Dr H kemudiannya menceritakan apa yang disebutkan oleh wanita tadi, "Isteri Encik memang sayangkan Encik, tetapi cuma 80 peratus sahaja." Lelaki itu terkejut dan dengan suara yang agak lantang, dia berkata kepada Dr H, "sampainya hati isteri saya, saya mengasihi dia 100 peratus Dr. Kenapa dia buat saya macam ni." Lelaki itu mula mengeluh penuh hampa. "Encik M, sepatutnya Encik bersyukur, kerana isteri Encik mengasihi Encik 80 peratus." Lelaki itu berkata, "saya tak puas hati Dr..". Dr H menyambung lagi, "Encik M, kalaulah isteri Encik cuma mengasihi Encik 18 peratus saja macamana? Apa perasaan Encik?". Kali ini lelaki ini terdiam dan dia kemudiannya menjawab, "Mungkin saya akan terlompat dari kerusi ni atau mungkin sakit jantung di sini."
Dr H tersenyum dan kemudian meneruskan sessi perbincangan dengan lelaki tersebut. Di akhir perbincangan itu, lelaki itu berkata kepada Dr H, "Saya tersilap kerana menyangkakan isteri saya tidak ambil hati dengan apa yang saya lakukan. (membanding- bandingkan isterinya dengan orang lain). Tetapi saya akan memberitahu isteri saya, bahawa saya sayangkan dia 100 peratus Dr..,cuma saya tidak dapat memahami hati isteri saya sepenuhnya. Dan saya bersyukur, kerana walaupun dia cuma sayangkan saya 80 persen, tetapi dia masih tetap berada di samping saya. Ketika senang dan susah".
Cerita ini saya dengar daripada seorang pensyarah yang mengajar psikologi di sebuah universiti di Malaysia. Bagi saya moral of the story, kadang kala kita tersilap memahami cara suami atau isteri mengasihi kita. Kita juga seringkali mengambil mudah tentang perasaan orang yang paling dekat dengan kita. Orang yang tidur sebilik dan sebantal dengan kita, yang berkongsi makan dan minum dengan kita. Kenangilah segala kebaikan pasangan kita dan terimalah kekurangan pasangan kita seadanya. Kepada para suami, jadilah imam kepada isteri sekurang-kurangnya pada waktu solat Subuh atau Maghrib. Ajarlah Quran kepada isteri dan anak-anak kita.
Ketiganya, bersyukurlah dengan kasih sayang suami atau isteri kita, terimalah kekurangan pasangan kita seadanya. Maafkanlah kesilapan pasangan kita jika kesilapannya bukan disengajakan atau tidak disedarinya. Ada orang yang lebih malang daripada kita, yang lebih merana daripada kita. Bersabarlah selagi boleh bersabar, kerana sabar itu memang pahit dilalui, tetapi indah di hujungnya. Yang penting, bersabarlah kerana Allah, bukan kerana bimbang tak dapat merasa duit pencennya, duit kwspnya. Harta dunia tak akan kekal, tapi amalan kita yang jadi penentu perhitungan nanti.
Wassalam
Dr Fauziah Mohd Noor (UIA)
2 comments:
Kesian laki dia bini dia syg 20% je. Appaun dlm hubungn ni kena byk tolak ansur baru boleh kekal bahagia selamanya. InsyaAllah.
cerita yg baik..tq 4 sharing..
Post a Comment