Tersentak saya sebenarnya, dengan kejadian yang berlaku dalam tempoh beberapa hari ini. Perkara yang berlaku di hadapan mata sendiri. Kadang-kadang macam tak percaya. Yelah, tak akanlah dia sanggup lakukan sampai begitu sekali. Apatah lagi bukannya hanya untuk diri sendiri. Untuk ANAK juga.
Apalah yang saya repekkan ni kan? Kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita, menyebabkan saya menyentuh sedikit tentang hal ini. Mungkin saya bukanlah orang yang pakar dalam hal ini. Saya menulis daripada persepsi saya sendiri. Seandainya punya kesilapan, mohon teguran daripada anda pembaca-pembaca sekelian.
Menyentuh hal mencari rezeki ini, adalah sangat penting untuk kita mencari rezeki yang HALAL. Apatah lagi kalau rezeki itu nanti kita kongsikan bersama ahli keluarga yang lain. Seseorang yang saya kenali ini, walau tidak rapat, namun selalu berada di depan mata saya. Seorang ibu tunggal kepada seorang cahayamata. Bekas suami masih ada untuk menanggung nafkah anak. Memang bekerja di bahagian yang mempertemukan dengan ramai orang luar, mungkin membuatkan dia alpa dengan etika kerja yang sepatutnya.
Saya tahu, kos sara hidup semakin tinggi. Sedangkan saya sendiri pun merasainya. Tapi, takkanlah hal makan minum, sanggup TAK BAYAR, hanya kerana dia punya kepentingan dengan orang tersebut. Bukan sekali-sekala, tetapi hampir setiap hari. Dan bukan pula, dengan seorang sahaja, tetapi ramai rupanya. Memang tidak melibatkan wang, tapi ia tetap dianggap pemberian yang berkepentingan kan?
Serius saya tak faham. Bukannya kerja tak bergaji pun kan? Kenapa setiap kerja yang dibuat, perlukan habuan? Tak cukupkah dengan pendapatan yang diperoleh tiap-tiap bulan? Inilah dia bila nikmat bersyukur semakin menjauh dari hati. Memang kita akan rasa apa yang kita ada tu tak cukup. Semakin banyak, semakin tidak cukup. Tapi, cuba kalau kita datangkan rasa bersyukur dengan rezeki yang diperoleh. InsyaAllah, apa yang sedikit akan rasa banyak, malahan makin terlebih pula.
Kalau diambil dengan cara yang salah, memang banyak mana pun yang diberi, tak akan pernah cukup. Sebab itu, bila sudah dimulakan sekali, akan dibuat berkali-kali. Kerana manusia memang tidak akan pernah puas, selagi dia tidak bersyukur. Apatah lagi, rezeki itu mahu diberi makan kepada anak-anak. Mungkin kesannya bukan sekarang, sebab itu dia tidak nampak apa yang dibuat itu salah.
Sebenarnya inilah yang sering berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Apa yang saya ceritakan itu, hanya sebahagian kecil daripada kehidupan. Dalam sebuah organisasi yang kecil pun, sudah berlaku begini. Apatah lagi dalam organisasi yang besar. Perkara ini macam satu perkara biasa, yang menjadi lumrah dalam kehidupan. Seperti tiada salahnya.
Inilah bila Islam hanya dibawa pada nama, tidak di dalam hati. Yang baik dan buruknya, sepertinya sama sahaja. Tiada bezanya...
Ini saya peti dari sini : www.rahasiasunnah.com
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda : "Akan datang sesuatu masa pada umat manusia, mereka tidak peduli dengan cara mendapatkan harta, apakah dengan cara yang halal atau dengan cara yang haram." (HR Bukhari)
Rasulullah s.a.w juga telah menyampaikan ancaman terhadap orang-orang yang memakan harta yang haram. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari harta yang haram. Neraka lebih sesuai untuknya." (HR Ahmad dan Ad-Darimi)
Boleh baca selanjutnya di sini ya!
No comments:
Post a Comment