SYAFIA HUMAIRA - Seindah nama yang diberi, Syafia bermaksud penawar, sepatutnya anak ini menjadi penawar paling bernilai kepada kedua orang tuanya. Tapi, sebaliknya pula yang berlaku. Dia malah menjadi mangsa belasahan orang yang sepatutnya menjaganya.
PENING! Itulah yang timbul setelah membaca kisah-kisah mangsa, dan keluarganya di dada akhbar. Baca pengakuan yang dikeluarkan ibu mangsa, Siti Norhanim Aziz, 25, menimbulkan persoalan:
- Akhbar melaporkan yang beliau kini mengandung 4 bulan hasil perhubungan dengan suspek. Tetapi beliau menafikan berita ini.
- Akhbar juga melaporkan beliau dipercayai mempunyai seorang anak lelaki berusia 1 tahun 6 bulan, Shakimi Iqbal, juga hasil perhubungan dengan suspek. Tetapi beliau menafikan berita ini, dan mengakui Shakimi adalah anak beliau dan suami yang kini ditahan tanpa reman di Penjara Sg. Buloh atas kesalahan membunuh, sejak tahun 2006.
- Akhbar juga melaporkan, beliau dan suspek sudah mengenali sejak 6 tahun lalu.
- Mangsa juga dipercayai didera oleh lebih dari seorang.
Apa yang dapat disimpulkan, betapa rapuhnya institusi kekeluargaan ini. Suspek dan ibu mangsa sudah lama bersekedudukan, dan dengan mengaburi mata masyarakat sekeliling, seolah-olah sepasang suami isteri. Mangsa sudah lama didera, dan tipulah kalau anak berusia 3 tahun langsung tidak mengadu yang dia didera. Bukankah kanak-kanak lebih jujur berkata-kata? Bagaimana keluarga ibu mangsa boleh membiarkan beliau tinggal dengan lelaki bukan muhrim, sedangkan beliau masih lagi berstatus isteri orang, walaupun suaminya kini dipenjara. Hanya mereka yang terlibat yang tahu, kenapa dan mengapa?
Sesungguhnya kematian adik Syafia Humaira, membawa seribu hikmah. Kita cuma doakan yang baik-baik buat mangsa, kerana syurga memang miliknya. Mungkin itu lebih baik kerana jika dia terus di sini, dia akan lebih terseksa dan hidupnya akan menjadi lebih trauma. Percayalah, perkara yang mungkar tidak akan selamanya dapat disimpan. Pemergian Syafia membongkar rahsia keluarga yang selama ini tersimpan rapi.
Al-Fatihah buat Syafia Humaira Sahari.
No comments:
Post a Comment