:: Nuffnang ::

:: Pengikut Setia ::

Tuesday, 29 September 2009

Puasa Qadha Ramadhan, Puasa Sunat Syawal & Ziarah

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

"kau, dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh hebahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'siapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya', serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya disembunyikan khas untuk Allah SWT.

Ziarah & Puasa Sunat Syawal

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang mengajak makan dan menziarahi rumah terbuka rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggungjawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Puasa Sunat Syawal & Puasa Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungan antara puasa ganti ramadhan dan puasa sunat syawal, yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa qadha dan puasa sunat syawal?

Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadith Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Maksudnya: "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya... " - HR Al-Bukhari, no.6021.

Hadith di atas sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan diyakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu di ketika itu. Ini adalah kerana waktu sunat puasa Syawal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus diingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal lebih dahulu menjemput kita.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadhannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga boleh mendapat pahala sunat Syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW;

هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Maksudnya "...barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah dituliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, dituliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." - HR Al-Bukhari, no.6010.

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawal, ini kerana puasa Qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah SWT berbanding puasa Syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Menggabungkan Puasa Sunat Syawal & Puasa Qadha

Isu menggabungkan puasa Qadha dan puasa Syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi SAW, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang mengharuskan penggabungan ‘qadha @ ganti' itu dipersoalkan, iaitu:

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa Qadha (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isya' dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain akan timbul dalam hal ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof.Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof.Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat yang lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka.

3. Tindakan Saidatina A'isyah RA yang melewatkan Qadha pula boleh dijadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Saidatina Aisyah RA tidak menggabungkannya) . Aisyah RA menyebut:

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Maksudnya: "Kewajipan ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" - HR Muslim, no.101.

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama' yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah SWT menerimanya.

Bagaimanapun, ulama' yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat Syawal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23).

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga disebutkan oleh Dr.Yusof Al-Qardawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW;

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Maksudnya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari dari Syawal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" - HR Al-Bukhari, no.6502.

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadhan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadhannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawal.

7. Hujjah ulama' yang mengharuskannya adalah hadith;

"Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." - HR Bukhari, no.1, 1/12.

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang dicadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram disebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-Umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada disiplinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini: Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama' yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama' dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, fanelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Wallahua'alam. .

SUMBER : -ibnumustafa-



glitter-graphics.com

No comments: